Tuesday, July 9, 2024

Karya seni mural Gardenia QuickBites terima pengiktirafan MBOR

SEBANYAK enam sekolah menerima Anugerah QuickBites 2024 ‘Minda Sihat, Cergas Fizikal’ selepas berjaya menghasilkan karya mural paling kreatif.

Pemenang hadiah utama dinobatkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 24 (2) Shah Alam, Selangor dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.

Dua pelajar dari sekolah tersebut berjaya menghasilkan lukisan mural yang dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Utama Minda Sihat, Cergas Fizikal Bersama QuickBites 2024.

Sharvin Naidu, 16, dan Puteri Nur Alyaa’ Qaisarah Abdul Rahman, 16, menyiapkan mural tersebut dengan bantuan rakan dan guru sekolahnya selama sembilan hari.

Selain itu, pemenang tempat pertama diperoleh oleh SMK Bukit Kepayang, Negeri Sembilan dengan membawa wang tunai berjumlah RM3,000 berserta sijil penghargaan.

Tempat kedua pula dimenangi oleh SMK Seremban 2, Negeri Sembilan dengan wang tunai sebanyak RM 2,000 berserta sijil penghargaan.

Manakala, tempat ketiga yang berjaya membawa pula RM1,000 pula diperoleh oleh SMK Wangsa Maju Seksyen 2, Kuala Lumpur.

Hadiah saguhati pula diberikan kepada SMK Bandar Puncak Jalil, Selangor dan juga SMJK Ave Maria Convent, Perak.

Kemenangan itu diumumkan dalam Penyampaian Anugerah QuickBites 2024 Minda Sihat, Cergas Fizikal yang berlangsung di Hotel Renaissance pada Khamis petang.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pengarah, Sektor Perancangan dan Pengurusan Sekolah 2, Azman Mashuri, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., Lavinia Anthony.

Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., Lavinia Anthony berkata, program tersebut dilaksanakan untuk membantu pelajar melepaskan stres dengan cara melukis mural.

“Saya rasa bangga dan akan terus bekerja keras untuk pastikan banyak lagi pencapaian seperti ini dapat diperoleh pada masa akan datang,” katanya.

Melalui program berkenaan, QuickBites berharap agar dapat meningkatkan kesedaran di kalangan murid sekolah tentang kepentingan menjaga kesihatan mental dalam kehidupan seharian mereka.

“Kami harap program sebegini dapat menzahirkan rasa ceria dan membina kenangan yang menyeronokkan dalam diri murid dan guru,” katanya.

Program Minda Sihat Cergas Fizikal Bersama QuickBites 2024 disertai kira-kira 130,000 orang murid dan guru daripada lebih 120 buah sekolah menengah di seluruh Semenanjung Malaysia.

Terdapat 10 variasi QuickBites iaitu roti krim berperisa vanila, jagung, coklat, krim mentega gula, krim black forest, krim karamel masin, kacang hazel, pandan gula melaka, ban mentega toffee dan ban kacang merah.

Kredit: MalaysianewsTV 

Baca ini > Aznan Adnan dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan yang baharu