Tuesday, July 9, 2024

Kerajaan setuju tubuh Jawatankuasa Dekarboniasai Kebangsaan – PM Anwar

KERAJAAN bersetuju Jawatankuasa Dekarbonisasi Kebangsaan ditubuhkan yang berperanan penting membabitkan kerajaan negeri serta pihak berkepentingan berkaitan bagi memastikan peralihan kepada pembangunan rendah karbon dilaksanakan secara teratur dan seimbang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kemaskini di media sosial selepas mempengerusikan Mesyuarat Kelima Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MTPIN) berkata pelaksanaan itu akan turut disokong dengan dasar baharu yang lebih terangkum dan menyeluruh dengan mengambil kira komitmen negara di bawah Perjanjian Paris.

“Sektor kewangan juga turut memberikan komitmen dalam memperkukuh peranan institusi kewangan dalam menyokong hala tuju peralihan pembangunan rendah karbon menerusi Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim.

“Segala keputusan hari ini akan menjadi asas kepada pendirian negara pada persidangan peringkat antarabangsa. Isu perubahan iklim serantau juga akan diberi keutamaan semasa Malaysia memegang kepengerusian ASEAN bermula tahun depan,” jelas Anwar.

MTPIN ialah platform perbincangan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi menetapkan dasar dan hala tuju berkaitan perubahan iklim melibatkan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Turut dibincangkan, kata Anwar, Malaysia kekal komited dalam memastikan aspirasi Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) sifar bersih negara dapat dicapai menjelang 2050.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Anwar Ibrahim (@anwaribrahim_my)

“Fokus utama kerajaan adalah untuk mempercepat proses peralihan kepada ekonomi rendah karbon dan kepentingan melindungi rakyat daripada impak perubahan iklim yang makin dirasai negara,” ujarnya lagi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menekankan pendekatan pelbagai dimensi oleh semua pihak dalam usaha mengarusperdanakan perubahan iklim dalam dasar sektoral dan rancangan pembangunan negara.

Justeru, beliau yakin inisiatif yang diputuskan dalam mesyuarat itu akan memastikan negara terus progresif dalam menangani isu perubahan iklim secara holistik dan bersepadu demi melindungi generasi masa hadapan. – BERNAMA

Baca ini > AS mengarahkan firma tenaga untuk mengurangkan sisa gas asli