Sunday, May 19, 2024

KKM nasihat KPM tangguh aktiviti luar bilik darjah jika cuaca panas Tahap 1

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan buat sementara waktu di lokasi yang merekodkan status cuaca panas Tahap 1.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abdu Hassan, berkata jika cuaca panas terus berpanjangan sehingga bertukar status gelombang haba, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil tindakan selanjutnya antaranya dengan menutup institut pendidikan di bawah kelolaannya.

“Sekiranya status cuaca bertukar kepada status gelombang haba, tindakan selanjutnya boleh diambil oleh KPM sebagaimana Pelan Tindakan Bagi Menangani Gelombang Haba 2016, Pelan Tindakan Pengurusan Risiko Kesihatan Gelombang Haba 2021 yang dikeluarkan KKM.

“Ia termasuk Garis Panduan Penutupan Institusi Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Semasa Cuaca Panas yang dikeluarkan pada 18 April 2023,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu merujuk status cuaca panas yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam, membabitkan Perlis yang mengalami gelombang haba dengan suhu maksimum harian di negeri itu melebihi 37 darjah Celsius sejak 19 Mac lalu.

Cuaca panas Tahap 1 pula direkodkan di sebahagian besar Kedah meliputi Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Kota Setar, Kuala Muda, Pendang, Sik dan Baling.

Beberapa kawasan di Perak termasuklah Hulu Perak dan Kuala Kangsar turut mengalami cuaca panas Tahap 1.

Cuaca panas Tahap 1 merujuk suhu maksimum harian melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius.

MET Malaysia juga menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius masih berlaku di kebanyakan kawasan di Semenanjung dan Sabah hingga bulan depan.

Mengenai pendedahan kepada cuaca panas yang berpanjangan, Dr Muhammad Radzi berkata ia boleh memudaratkan kesihatan terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas termasuk individu menghidap penyakit kronik.

Katanya, murid-murid sekolah antara golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat kesan masalah kesihatan akibat pendedahan kepada cuaca panas.

Beliau menjelaskan ia disebabkan faktor fisiologi dan kurang pengambilan air.

“Sehubungan itu, KKM menasihati ibu bapa untuk memastikan anak-anak mengambil air secukupnya.

“Bagi mereka yang berpuasa di bulan Ramadan ini, ketika bersahur dan berbuka puasa hendaklah meminum air yang mencukupi.

“Awasi tahap hidrasi dan kesihatan anak-anak sepanjang berpuasa,” katanya.

Baca ini > Langkawi, Pokok Sena dan Seberang Perai antara daerah terpanas di Semenanjung