Tuesday, July 9, 2024

Lebih 20 Vendor Meriahkan Pasar Pagi Sungai Mulia Pada 22 Jun

Lebih 20 vendor dijangka memeriahkan Pasar Pagi Sungai Mulia anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Sungai Mulia pada 22 Jun ini.

Pengarah program, Akyem Samad berkata, Pasar Pagi Sungai Mulia bukan sekadar berobjektifkan pembangunan ekonomi setempat.

Malah ia memberi peluang kepada warga Kampung Sungai Mulia serta kawasan sekitar terutamanya belia untuk mengasah bakat keusahawanan.

“Jika singgah ke Pasar Pagi Sungai Mulia, pengunjung bukan hanya boleh membeli makanan yang lazat-lazat atau pakaian dari kanak-kanak hingga dewasa.

“Malah ada juga vendor yang menawarkan barangan preloved seperti komputer, helmet, Hot Wheel dan permainan kanak-kanak untuk disedekah,” katanya.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang untuk mendapatkan barangan segar seperti petai, jering, bunga kantan, pucuk ubi serta sayur-sayuran kampung lain.

“Menariknya tentang Pasar Pagi Sungai Mulia ini adalah ia adalah sebuah pasar pagi yang benar-benar beroperasi dalam kawasan kampung.

“Terletak berdekatan simpang empat yang menuju ke pelbagai kampung berdekatan, ia boleh dikatakan agak strategik,” ujar Akyem Samad.

Akyem Samad yang juga merupakan Bendahari KRT Kg. Sg. Mulia berkata, Pasar Pagi Sungai Mulia pada peringkat awal dijadualkan berlangsung sebulan sekali.

“Namun jika terdapat permintaan daripada para vendor serta warga Sungai Mulia untuk diadakan lebih kerap, ia akan dibawa ke peringkat perbincangan,” ujarnya.

Pasar Pagi Sungai Mulia akan berlangsung di Padang Terbuka, Lorong Sungai Mulia 2 bermula dari pukul 7.30 pagi sehingga 11.30 pagi.

Untuk sebarang maklumat lanjut, boleh berhubung dengan Akyem Samad menerusi Whatsapp di talian 011-17117086.