Tuesday, July 9, 2024

Malaysia, Singapura komited perkukuh hubungan, selesai isu tertunggak

MALAYSIA dan Singapura komited terus memperkukuh hubungan dua hala serta mencari penyelesaian bersama terhadap isu tertunggak berkaitan air, persempadanan maritim dan Informasi Penerbangan Wilayah (FIR).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yakin semua isu berkenaan dapat diselesaikan menerusi rundingan berterusan, mengambil kira kedudukan dan hubungan kukuh di antara pemimpin kedua-dua negara.

“Kami membincangkan semua isu, (termasuk) beberapa yang tertunggak mengenai zon kewangan, zon ekonomi yang terus berjalan dengan baik. Meningkatkan fenomena perdagangan dan pelaburan ke Malaysia, begitu juga penyertaan kita dalam cara yang mungkin lebih kecil di Singapura.

“Kami juga menyentuh parameter lebih luas untuk membincangkan isu air, FIR dan sempadan maritim yang saya fikir harus diselesaikan demi kepentingan hubungan masa depan dan mengeratkan ikatan persahabatan antara kedua-dua negara,” katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Lawrence Wong, yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan perjumpaan dengan selama lebih sejam bersama Wong untuk berbincang mengenai langkah-langkah bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara negara.

Wong tiba di Malaysia untuk lawatan kerja dua hari semalam, yang menjadi lawatan sulung beliau selepas dilantik sebagai Perdana Menteri republik itu pada 15 Mei lalu.

Dalam pertemuan itu, Anwar turut menyatakan hasrat Malaysia agar Singapura dapat menghantar gurunya bagi mengajar Bahasa Inggeris dan beberapa subjek lain di negara ini.

“Biarlah graduan muda buat pilihan mereka sendiri jika mereka boleh dan saya amat gembira dengan Perdana Menteri Wong untuk bersedia mengatakan (menerima permintaan Malaysia) ini secara positif.

“Ini (hasrat) bukan apa yang disediakan oleh pegawai (pada sidang media ini). Kami hanya mahu membuktikan bahawa adakalanya Perdana Menteri boleh membuat keputusan sebelum menteri (umumkan),” katanya.

Menyentuh mengenai ASEAN, Anwar berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk memberi tumpuan dalam mendepani cabaran baru berkaitan perdagangan, digital, tenaga dan pelaburan.

“Kami menyentuh beberapa keperluan untuk bekerjasama dalam rangka kerja ASEAN, kerana bagi Malaysia dan Singapura, ASEAN adalah amat penting dan strategik.

“Kami berdua komited untuk memastikan ASEAN terus berfungsi dengan lebih berkesan dan fokus menghadapi cabaran baharu tenaga, perdagangan digital dan pelaburan bersama,” katanya.

Sementara itu, Wong berkata, Singapura akan terus berusaha memperluas kerjasama dengan Malaysia dipelbagai sektor termasuk pelaburan, perdagangan, kesihatan, selain bidang baru ekonomi digital dan tenaga boleh diperbaharui.

“Kami komited untuk menjayakan projek yang diusahakan bersama, iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura,” katanya.

Lawatan kerja Wong ini juga sebagai persediaan untuk Sesi Permukiman Tahunan Pemimpin-Pemimpin yang akan dianjurkan Malaysia pada akhir tahun ini.

Pada 2023, Malaysia dan Singapura masing-masing merupakan rakan dagang kedua terbesar di peringkat global serta terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM363.13 bilion (US$ 79.60 bilion).

Baca ini > Mohamed Khaled ketuai delagasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan di Singapura