Tuesday, July 9, 2024

Menara MBJB gempar, terima ancaman bom

MENARA Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) hari ini gempar apabila menerima ancaman bom.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman berkata pihaknya menerima kiriman emel awal pagi tadi daripada individu yang mengenalkan dirinya sebagai Takahiro Karasawa.

”Sebenarnya bukan panggilan, kita terima emel pada pukul 5.44 pagi yang mana telah dihantar kepada general emal MBJB.

“Staff saya buka emel tersebut pada pukul 10 dan emel itu menyebut ancaman-ancaman yang bakal berlaku pada hari ini.

“Kita tidak ambil ringan dan terus laporkan pada pihak polis untuk siasatan. Kita telah ambil langkah berjaga-jaga dan minta staf mengosongkan bangunan dan taska juga ditutup untuk polis jalankan ‘flushing’ di bangunan ini,” katanya.

Tambah Noorazam, lebih 600 kakitangan MBJB dibenarkan memasuki bangunan itu semula pada jam 2.05 petang setelah disahkan selamat oleh pihak polis.

Tinjauan mendapati kerja pengesanan bom dilakukan oleh anggota polis di sekitar Menara MBJB oleh Unit Pemusnah Bom.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Baca ini > Beberapa unit kediaman di Flat Sri Sabah terbakar