Tuesday, July 9, 2024

Pancuan empat roda JAKOA kemalangan bergesel dengan MPV, empat cedera

SEORANG kanak-kanak yang tercampak dari sebuah kenderaan pacuan empat roda nyaris dilanggar sebuah kenderaan lain yang mengekori dari belakang dalam kemalangan di KM 47.3, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak tengah hari semalam.

Kemalangan yang dirakam kamera papan pemuka itu menyaksikan kanak-kanak berkenaan tercampak keluar dari kenderaan itu dengan seorang wanita terbaring di tepi jalan.

Kenderaaan 4×4 itu adalah milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun.

Kenderaan itu turut dinaiki seorang kanak-kanak berusia lima tahun dan tiga penumpang perempuan berusia 15 hingga 39 tahun.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar berkata, manakala kenderaan pelbagai guna (MPV) pula dipandu seorang lelaki warganegara asing berusia 44 tahun yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jeli, Kelantan.

“Empat penumpang termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun dan tiga penumpang perempuan mengalami kecederaan.

“Semua penumpang yang cedera dihantar ke di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk rawatan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kenderaan JAKOA dan pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal, polis mendapati MPV yang berada di sebelah kiri jalan telah bergesel dengan kenderaan JAKOA yang berada di sebelah kanan laluan berkenaan.

“Polis mohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu tampil membantu siasatan dan menasihatkan semua pengguna jalan raya sentiasa memandu berhati-hati, berhemah serta mematuhi had laju ditetapkan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Baca ini > Pacuan empat roda terbalik, 13 pelajar Orang Asli cedera ringan