Tuesday, July 9, 2024

Pelabur asing beli RM961.1 juta ekuiti tempatan minggu lalu – MIDF

PELABUR asing terus membeli ekuiti Malaysia untuk minggu ketiga berturut-turut dengan aliran masuk bersih sebanyak RM961.1 juta walaupun trend itu adalah sebaliknya di peringkat serantau apabila mereka menjual AS$549.8 juta ekuiti Asia di lapan pasaran.

Menurut Laporan Aliran Dana mingguan terkini oleh MIDF Research, aktiviti belian bersih dalam pasaran tempatan telah menyederhana sedikit daripada RM1.06 bilion minggu sebelumnya.

“Aktiviti pembelian berlaku pada setiap hari dagangan minggu lepas kecuali pada hari Khamis.

“Pelabur asing kembali kepada belian bersih semula pada Jumaat, mungkin dipengaruhi oleh keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus,” kata MIDF memetik laporan Bernama pada Isnin.

Sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM268.2 juta), utiliti (RM242.9 juta), dan pengangkutan dan logistik (RM114.0 juta), manakala satu-satunya sektor mempunyai aliran keluar bersih asing ialah produk dan perkhidmatan perindustrian (RM8.9 juta) dan REIT (RM3.8 juta).

Institusi tempatan meneruskan trend jualan bersih mereka untuk minggu kedua berturut-turut berjumlah RM724.9 juta.

Pada masa yang sama, peruncit tempatan terus melupuskan ekuiti domestik untuk minggu kesembilan berturut-turut pada RM236.2 juta.

Dari segi penyertaan, purata volum dagangan harian (ADTV) meningkat untuk peruncit tempatan (17.4 peratus) dan institusi tempatan (1.3 peratus), manakala oleh pelabur asing menurun kepada 9.9 peratus.

Baca ini > Bursa Malaysia dibuka tinggi, lepasi paras 1,600 mata