Tuesday, July 9, 2024

Peluang semak, sah arah kiblat 5:18 petang ini

SELURUH umat Islam di Malaysia berpeluang untuk membuat semakan dan pengesahan arah kiblat yang tepat sempena fenomena Istiwa A’dzam yang akan berlaku pada hari ini (Isnin 27 Mei)  bersamaan 18 Zulkaedah 1445H, tepat jam 5.18 petang.

Istiwa A’dzam ialah satu fenomena astronomi di mana kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah di Makkah. Pada waktu tersebut, bayang-bayang objek yang tegak di permukaan bumi akan menunjukkan arah yang tepat ke Kaabah.

Fenomena ini berlaku dua kali dalam setahun iaitu pada 27 Mei dan 15 Julai. Oleh itu, seluruh umat islam di Malaysia berpeluang untuk menyemak ketepatan arah kiblat di premis atau kediaman masing-masing.

Bagi umat Islam, solat menghadap kiblat adalah salah satu syarat sah solat. Justeru, mengetahui arah kiblat yang betul adalah sangat penting.

Walaupun teknologi moden seperti kompas dan aplikasi mudah alih dapat membantu dalam menentukan arah kiblat, semakan menggunakan Istiwa Adzam memberikan satu kaedah yang sangat tepat dan tidak memerlukan peralatan khas.

Menurut perkongsian daripada Kementerian Sains, Teknologo dan Inovasi (MOSTI), matahari akan berada tepat di atas bandar Makkah yang terletaknya Kaabah yang merupakan kiblat bagi umat Islam di seluruh dunia.

“Pada ketika itu, bayang-bayang sinaran Matahari bagi semua objek tegak yang ada di permukaan Bumi akan menghala ke arah Kaabah.”

“Lakaran bayang-bayang objek tegak pada ketika dan tarikh itu boleh dijadikan sebagai panduan bagi menentukan atau mengesahkan arah kiblat secara semulajadi,” jelas perkongsian itu.

Pihak MOSTI juga memaklumkan bahawa fenomena ini akan berlaku lagi pada 15 Julai 2024, Isnin, jam 5.27 petang waktu Malaysia.

 

Panduan semakan arah kiblat

Untuk memanfaatkan fenomena Istiwa Adzam pada 27 Mei 2024, ikuti langkah-langkah berikut:

1.Tentukan Waktu Istiwa Adzam: Pada 27 Mei 2024, fenomena ini berlaku pada jam 12:18 tengah hari waktu Arab Saudi, atau 5:18 petang waktu Malaysia. Pastikan waktu yang dirujuk diselaraskan dengan waktu sirim (mst.sirim.my)

2.Sediakan Objek Tegak: Cari objek yang berdiri tegak seperti tiang, batang kayu, atau apa-apa sahaja yang boleh menghasilkan bayang yang jelas. Pastikan objek tersebut berada di kawasan yang rata dan terbuka untuk mengelakkan gangguan bayang-bayang lain.

3.Pantau Bayang-Bayang: Pada waktu yang ditetapkan, perhatikan bayang-bayang yang dihasilkan oleh objek tegak tersebut. Bayang-bayang ini akan menunjukkan arah yang bertentangan dengan matahari dan secara langsung menunjukkan arah kiblat.

4.Tandakan Arah Kiblat: Anda boleh menandakan arah kiblat dengan melukis garis di atas tanah atau menggunakan penanda lain yang mudah dikenalpasti. Ini akan memudahkan anda untuk mengetahui arah kiblat pada masa-masa akan datang.