Tuesday, July 9, 2024

Pemandu Mazda 2 Hatchback cemas langgar 3 buah kereta ketika keluar parkir

POLIS kini menyiasat kejadian seorang pemandu merempuh beberapa buah kereta di Jalan Padang dari arah Jalan Bukit Kapar 1 menghala ke Jalan Kapar, 7.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya juga telah mengesan sebuah video berdurasi 17 saat yang dimuat naik di laman TikTok memaparkan kejadian kemalangan itu.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila seorang perempuan Cina telah tertekan pedal minyak ketika hendak keluar daripada kotak parkir sebelum melanggar sebuah kereta yang berada di hadapannya.

“Beliau yang dalam keadaan cemas serta terkejut telah menukar gear undur lalu mengundur secara laju sebelum melanggar dua buah kereta lagi yang diparkir di tepi jalan.

“Tiada kemalangan jiwa serta kecederaan dilaporkan dan kesemua pihak yang terlibat telah membuat laporan pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Low Wee Hong di talian 017- 674 7946.

Baca ini > Tular Perodua Myvi ‘terbang’