Tuesday, July 9, 2024

Pemegang rekod dunia maraton, Kelvin Kiptum maut dalam kemalangan

POLIS Kenya pada Ahad mengesahkan kematian pemegang rekod dunia maraton, Kelvin Kiptum, 24, dan jurulatihnya, Gervais Hakizimana dalam kemalangan jalan raya.

Dalam satu kenyataan, komander polis bagi wilayah Elgeyo Marakwet, Peter Mulinge berkata kedua-dua lelaki itu terbunuh dalam kejadian di jalan Eldoret-Kaptagat yang sibuk di barat Kenya, lapor Agensi Anadolu.

Walaupun usaha menyelamat dilakukan pasukan kecemasan, Kiptum dan Hakizimana meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami mereka.

“Kereta itu dinaiki tiga penumpang. Dua penumpang maut di tempat kejadian manakala penumpang ketiga dibawa ke hospital untuk rawatan,” kata Mulinge.

Beliau berkata pihak berkuasa telah melancarkan siasatan untuk mengetahui punca nahas.

Sementara itu, Athletics Kenya menzahirkan kesedihan atas pemergian Kiptum dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan seluruh komuniti olahraga.

Kiptum mencipta sejarah dengan memecahkan rekod dunia Eliud Kipchoge dengan menamatkan larian 42 kilometer dengan catatan 2 jam dan 35 saat semasa Chicago Marathon, Oktober lepas.

Baca ini > Azraai Khor Abdullah meninggal dunia