Tuesday, July 9, 2024

Pemilik salon rugi RM146,000 terpedaya skim pinjaman tak wujud

HAJAT pemilik salon untuk meminjam wang RM200,000 daripada syarikat pinjaman wang di media sosial terkandas apabila sebaliknya dia diperdaya hingga hilang wang simpanan sebanyak RM146,020.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada wanita berusia 28 tahun itu, kelmarin.

Katanya, mangsa diperdaya sindiket menawarkan pinjaman wang tidak wujud secara dalam talian selepas melihat iklan pinjaman di media sosial pada minggu lalu, lapor Berita Harian.

“Mangsa menghubungi nombor telefon yang terdapat pada iklan tersebut dan diterangkan kadar bayaran bulanan oleh pekerja syarikat terbabit.

“Mangsa berminat untuk membuat pinjaman RM200,000 dan telah memberikan salinan butiran peribadi serta penyata akaun bank kepada suspek untuk tujuan permohonan pinjaman.

“Suspek juga telah memperdaya mangsa dengan meminta membuat pembayaran setem duti dan kredit ‘scoring’ serta dijanjikan pinjaman akan diterima selepas mangsa membuat pembayaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Raub, mangsa memaklumkan telah mengikut arahan suspek dan membuat bayaran sebanyak RM146,020 dengan 16 transaksi ke beberapa akaun bank tempatan.

“Setelah pembayaran dibuat, suspek mendesak mangsa untuk membuat penambahan bayaran lagi bagi mendapatkan pinjaman wang. Namun mangsa enggan berbuat demikian.

“Hingga kini mangsa belum menerima wang pinjaman seperti yang dijanjikan,” katanya.

Baca ini > Staf Maybank Penang Berjaya Halang Mak Cik Daripada Kena Scam RM150,000