Tuesday, July 9, 2024

PM Anwar tawarkan kestabilan, ekosistem kondusif Malaysia realisasi pelaburan dari Jepun

KESTABILAN dan ekosistem pelaburan Malaysia yang kondusif menjadi faktor utama bagi mana-mana syarikat luar negara termasuk Jepun untuk merealisasikan pelaburan ke dalam negara, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menekankan perkara berkenaan ketika mengetuai delegasi negara mengadakan pertemuan bersama pemimpin dan kapten industri serta perniagaan meliputi pelbagai sektor yang berpusat di Tokyo, Jepun hari ini.

Antara syarikat terbabit adalah IHI Corporation, Nisshin OilliO Group Ltd, Tokuyama Corporation, Sumitomo Corporation, ENEOS, Mitsubishi Corporation dan Tokyo Gas.

“Ruangan dan peluang ini saya gunakan untuk memberi jaminan kepada mereka bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi terbaik dan pilihan untuk membuat pelaburan.

“Saya juga tegaskan bahawa Malaysia mempunyai kestabilan dan ekosistem pelaburan yang kondusif bagi mana-mana syarikat merealisasikan pelaburan ke dalam negara.

“Antara peluang pelaburan di Malaysia yang dibincangkan merangkumi industri minyak dan gas, tenaga boleh baharu, hidrogen dan amonia, industri halal dan semikonduktor,” katanya melalui muat naik di platfrom X.

Beliau kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Jepun, kurang seminggu selepas mengetuai delegasi ke Qatar, selain tiga negara Asia tengah iaitu Kyrgyztan, Kazakhstan dan Uzbekistan yang berjaya meraih potensi eksport melebihi RM2 bilion.

Turut serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata beliau turut menegaskan supaya komitmen semua syarikat dalam pertemuan hari ini disusuli secara rapi supaya pelaburan ke dalam negara dapat direalisasikan dalam masa ditetapkan.

“Dengan adanya interaksi kerajaan dengan para pelabur seperti ini akan terus memberikan peluang yang besar buat negara kita bagi menarik lebih banyak pelaburan daripada Jepun, Insya-Allah,” katanya.

Untuk rekod, ketika Anwar berada di Tokyo pada Disember tahun lalu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berjaya memperoleh sejumlah RM29.6 bilion pelaburan berpotensi dan RM2.8 bilion potensi eksport tahun lalu dari Jepun.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata MITI telah mencapai RM6.6 bilion daripada potensi pelaburan langsung asing (FDI) dan RM700 juta potensi eksport melalui Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Jepun.

“Dengan potensi pelaburan RM23 bilion dan RM2.1 bilion potensi eksport yang diraih sebelum ini daripada misi pertama ke negara berkenaan pada Jun lalu, menjadikan kedua-dua misi ke Jepun memperoleh sejumlah RM29.6 bilion pelaburan berpotensi dan RM2.8 bilion potensi eksport bagi tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dibantu oleh agensi MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), misi berkenaan telah diadakan serentak dengan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun di mana delegasi Malaysia diketuai sendiri Perdana Menteri.

Baca ini > Malaysia sedia pimpin ASEAN ke arah kestabilan, kemakmuran – PM Anwar