Tuesday, July 9, 2024

PM China lawat Malaysia sempena Jubki Emas hubungan Malaysia-China

PERDANA MENTERI China, Li Qiang akan mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia mulai hari ini hingga 20 Jun ini untuk memperkukuh hubungan dua hala dan memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Dalam satu kenyataan oleh Wisma Putra, Li dijangka mengadakan pertemuan dengan takan sejawatnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala antara kedua negara serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Lawatan Li juga bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China berikutan penandatanganan Kenyataan Bersama oleh Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri Chou En Lai pada 31 Mei 1974,” kata Wisma Putra.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan persetujuan dalam pelbagai bidang kerjasama, termasuk ekonomi digital, pembangunan hijau, pelancongan, perumahan dan pembangunan urbanisasi, pendidikan tinggi, sains dan teknologi serta pengeksportan agrikomoditi ke China.

Kedua-dua pihak juga akan menghadiri majlis makan malam bagi menyambut ulang tahun ke-50.

Li juga dijadualkan mengadakan Kunjungan Menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Beliau juga akan menghadiri majlis upacara pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (East Coast Rail Link – ECRL) di Gombak dan makan tengah hari bersama komuniti perniagaan dari kedua-dua negara.

Pada tahun 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi lima belas tahun berturut-turut dari tahun 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion.

Hubungan diplomatik Malaysia dengan China bertambah kukuh sejak penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada tahun 2013.

Baca ini > Malaysia, China setuju kukuhkan penguatkuasaan undang-undang, keselamatan rentas sempadan – Saifuddin Nasution