Tuesday, July 9, 2024

Pyan Habib meninggal dunia

PELAKON dan penyair terkenal, Mohd Supyan Abdul Rahman, 66, yang lebih dikenali sebagai Pyanhabib Rahman, dilaporkan telah meninggal dunia di kediamannya di AU4 Keramat, Hulu Kelang, malam ini.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pengerusi Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Mohd Khair Ngadiron ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi.

“Allahyarham disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 9.30 malam tadi. Ketika ini jenazah sedang diuruskan di rumahnya. Saya kini dalam perjalanan ke balai polis untuk melaporkan kematian,” katanya lagi.

Sementara itu Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Najwan Halimi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Anggerik turut memaklumkan berita sedih itu di platform X nya.

“Dukacita dimaklumkan seniman Pyanhabib Rahman baru saja menghembuskan nafas terakhir di kediaman beliau di Hulu Kelang sebentar tadi. Sesungguhnya kita datang dari Allah, dan kepada Allah jua kita akan kembali. Al-Fatehah,” katanya lagi.

Pyanhabib dalam status Facebook terbaru enam hari lepas ketika menyambut hari ulang tahun kelahirannya menyatakan: “27 Mei (1958). Genap usia saya 66 tahun. Cucu minta potong kek, saya pun potong kek.

“Jeda… Nabi Muhammad SAW wafat pada usia 63 tahun dan saya hidup pada usia subsidi diberi Allah. Allahu!”, katanya.

Selain melahirkan banyak pusi yang diterbitkan melalui buku-bukunya pernah membintangi filem ‘Kembara Seniman Jalanan’, ‘Tsu Feh Sofiah’, ‘Rozana Cinta 87’, ‘Mat Som’, ‘Tak Kisahlah Beb’ dan sebagainya.

Baca ini > Pemilik Sabasun HyperRuncit meninggal dunia