Tuesday, July 9, 2024

RCB tawar RM10 juta bantu kontraktor lepasan Giatmara

RURAL Capital Berhad (RCB) telah menyalurkan sebanyak RM10 juta kepada usahawan kontraktor Giatmara yang berjaya memperoleh projek membina rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Pengerusi RCB, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, skim pembiayaan tersebut merupakan produk terbaharu RCB dengan usaha sama Giatmara.

Menurut beliau, melalui Skim Pembiayaan Kontrak Pembekalan dan Perkhidmatan (SKOPP) itu kontraktor berkenaan diberikan pembiayaan bagi menampung modal bagi melaksanakan projek PPRT.

“Pembiayaan SKOPP ini adalah khusus kepada usahawan kontraktor Giatmara bagi membantu lebih daripada 200 usahawan merangkumi 500 buah rumah,” katanya hari ini.

Sebelum itu Noor Hariri menyerahkan mock-up simbolik kerjasama SKOPP kepada Pengerusi Giatmara, Datuk Musa Sheikh Fadzir disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Majlis berlangsung ketika sesi walkabout Ahmad Zahid ke reruai RCB sempena Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Noor Hariri berkata, program PPRT itu adalah salah satu program di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Giatmara dilantik sebagai agensi pelaksana program ini.

Manakala SKOPP pula, katanya, merupakan produk pembiayaan yang membantu usahawan kontraktor lepasan Giatmara yang sukar mendapatkan pembiayaan kontrak pembinaan daripada pihak bank dalam menyiapkan projek-projek bina rumah dalam tempoh jangka masa yang ditetapkan.

Beliau berkata, RCB juga mengendalikan keseluruhan aktiviti pengurusan kredit termasuk pemantauan kerja kontrak sehingga selesai sepenuhnya dan proses kutipan balik pembiayaan.

Giatmara pula merupakan agensi pelaksana dalam mempromosikan produk SKOPP, pematuhan projek, pengeluaran bayaran kepada RCB apabila projek selesai.

Selain itu, institusi itu juga menyediakan latihan pembangunan kepada usahawan lepasan Giatmara bagi menambahkan kemahiran tenaga kerja mahir dalam membangunkan industri pembinaan negara khususnya dalam kalangan Bumiputera.

Baca ini > Zahid garis tiga ikhtiar memperkasa Ekonomi Bumiputera