Tuesday, July 9, 2024

Segera ambil tindakan pacu perniagaan sektor pertanian – PM Anwar

PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan tindakan segera diambil terhadap beberapa perkara mendesak, terutama kelulusan pelaksanaan serta fasiliti pelaburan dan perniagaan dalam sektor pertanian.

Justeru, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, elemen ‘ease of doing business’ wajar diterapkan bagi menyokong ekosistem perniagaan dalam sektor itu.

Katanya, kerajaan juga komited dengan pembangunan ekosistem industri tanaman serta pengadaptasian teknologi dan meneroka potensi makanan masa hadapan, seperti daging kultur, hasil daging kultur dan ‘cell-based food’.

“Inisiatif ini perlu didahului dengan kajian menyeluruh bagi memastikan tahap kualiti dan keselamatan makanan adalah terjamin.

“Inisiatif pemodenan pertanian seperti pembangunan kilang tanaman akan menyokong pertumbuhan industri teknologi pertanian bagi menghasilkan pengeluaran makanan lestari sebagai alternatif kepada pengeluaran tanaman semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2024, semalam.

Mesyuarat berkenaan membincangkan usaha bagi mempertingkat keterjaminan makanan serta memperkasa industri agromakanan negara.

Sementara itu, Anwar berkata, mesyuarat turut bersetuju dengan pembangunan indikator keterjaminan makanan, merangkumi maklumat berkaitan harga dan ketersediaan makanan di seluruh peringkat.

“Saya yakin segala ikhtiar diputuskan dalam mesyuarat ini akan terus melonjak pembangunan sektor pertanian dan agromakanan supaya menjadi penyumbang utama ekonomi negara dan terus memanfaatkan rakyat.

“Alhamdulillah, mesyuarat dimaklumkan mengenai prestasi dan produktiviti dalam sektor pertanian serta agromakanan yang tampak memberikan kesan positif dengan mencatatkan pertumbuhan dalam tempoh setahun kebelakangan ini,” katanya.

Baca ini > Malaysia, Singapura komited perkukuh hubungan, selesai isu tertunggak