Tuesday, July 9, 2024

SPRM hubungi CPIB Singapura dapatkan maklumat dalang kes ‘kontena terbang’

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghubungi Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura dalam usaha menjejak seorang warganegara berkenaan yang disyaki dalang utama kes kontena lari cukai (kontena terbang).

Sumber SPRM ketika dihubungi berkata, berdasarkan siasatan, suspek dipercayai telah meninggalkan negara berkenaan dan usaha untuk menjejak beliau dijalankan.

“SPRM juga memohon Mutual Legal Assistance dengan pihak berkuasa Singapura yang merupakan proses penting dalam siasatan kes ini berikutan ia melibatkan suspek bukan warganegara,” kata sumber itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara berkenaan.

Khamis lalu, tujuh individu termasuk pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terlibat dalam kes kontena terbang yang bergiat aktif di Pelabuhan Klang, Selangor ditahan dalam Op Transit.

Semua yang ditahan itu disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang yang mengakibatkan ketirisan cukai dianggarkan bernilai kira-kira RM3.5 bilion kepada negara.

Hasil operasi yang dijalankan oleh SPRM dan JKDM pada Rabu lalu berjaya menahan 19 kontena yang mengandungi pelbagai barangan import.

Daripada pemeriksaan, sebanyak lima kontena telah dibuka dan mendapati mengandungi pelbagai jenis barangan bercukai termasuk lampu diod pemancar cahaya (LED), lampu solar dan tin daging babi yang diproses. – BERNAMA