Tuesday, July 9, 2024

Suspek kes tembak di KLIA dibawa ke IPK Shah Alam serta direman tujuh hari

LELAKI yang disyaki melepaskan tembakan di balai ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada awal pagi Ahad lalu tiba di Pangkalan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PGU PDRM), Subang, sebentar tadi.

Lelaki berusia 38 tahun itu tiba dengan memakai pelitup muka dan bebaju lokap berwarna ungu di pengkalan itu sekitar jam 2.15 petang tadi dengan kawalan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang berpakaian taktikal dengan bersenjata.

Lelaki berkenaan yang dikenalpasti sebagai Hafizul Hawari, 38, kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor di Shah Alam menggunakan kereta PDRM sambil diiringi beberapa Unit Rondaan Bermotor (URB).

Suspek diterbangkan dari Kota Bharu, Kelantan menggunakan sebuah pesawat King Air B300 milik PDRM difahamkan sekitar jam 1 petang.

Turut kelihatan mengiringi suspek, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain.

Terdahulu Mahkamah Majistret Kota Bharu membenarkan reman ke atas lelaki berkenaan selama tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman hari ini sehingga 22 April itu dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atas suspek berkenaan.

Pada semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan suspek telah berjaya dicekup di hadapan Hospital Pakar Perdana iaitu beberapa meter dari Ibu Pejabat  Kontinjen (IPK) Polis Kelantan, pukul 3 petang selepas diburu selama kurang 48 jam.

Pada kejadian sekitar jam 1.20 pagi pada Ahad lalu itu, lelaki berkenaan bertindak nekad melepaskan tembakan kepada isterinya sebelum terkena individu lain di balai ketibaan KLIA.

Shuhaily pada satu sidang media Ahad lalu memaklumkan suspek telah melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya yang mana satu das tembakan tersasar manakala satu das lagi terkena seorang pengawal peribadi isteri suspek.

Mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun terkena tembakan pada bahagian perut. Sehingga kini, mangsa yang dirawat di Hospital Cyberjaya belum sedarkan diri.

Mohd Shuhaily turut memaklumkan suspek pernah ditahan pada Februari lalu atas laporan polis dibuat isterinya berkait kesalahan ugutan jenayah pada Disember 2023.

Katanya, wanita itu juga pernah membuat laporan polis berhubung kesalahan sama terhadap suspek pada 2016.

Pihak polis difahamkan pasangan suami isteri itu dalam proses perceraian dan motif kejadian dikatakan berkaitan perihal peribadi di antara suspek dan isterinya.

Baca ini > Suspek kes tembak di KLIA di tahan di Kelantan