Tuesday, July 9, 2024

Viu Malaysia lancar siri baharu Nafsu, papar sisi gelap godaan dan tahap keinginan manusia

TERUS ligat menghasilkan karya dan cerita yang menarik, Viu, perkhidmatan penstriman video OTT pan serantau milik PCCW melancarkan siri Viu Original terbaharu iaitu Nafsu.

Nafsu dibarisi oleh barisan pelakon hebat seperti Kamal Adli, Azira Shafinaz, Aqasha, Khayrisyah Kemal dan Nia Atasha.

Drama bersiri 8 episod terbitan Infinitus Productions ini adalah siri Viu Original yang ke-26 ditayangkan di Malaysia dan sudah pun ditayangkan sejak semalam, 27 Jun dengan episod baru pada setiap hari Khamis.

Nafsu menyingkap kisah di sebalik kawasan setinggan dan lorong gelap Kuala Lumpur dan lelaki bernama Sam yang menipu dan menyamar sebagai bomoh demi kelangsungan hidup.

Bersama-sama rakannya, Suria, mereka mengaut duit golongan atasan yang mudah terpedaya dengan ilmu hitam. Namun hakikatnya, Sam memang mempunyai deria keenam dan pernah diajar ilmu Ruqyah semasa kecil, tetapi Sam menolak keupayaan itu kerana suatu tragedi.

Apabila Dina, bekas kekasih Sam datang meminta pertolongan mencari Alia, adik perempuannya yang hilang selepas mendengar suara-suara aneh, Sam cuba menerima anugerahnya bagi membantu Dina.

Kehilangan Alia cumalah satu permulaan kepada suatu ancaman yang lebih besar, membabitkan kumpulan ajaran sesat daripada golongan elit yang diketuai seorang lelaki misteri penuh karisma bernama Gusti.

Disertai Dina dan Suria, Sam bakal diduga dengan perkara-perkara di luar jangkaan akal sementara bandar Kuala Lumpur menyaksikan rancangan besar Gusti berjalan.

Pengurus Negara Viu Malaysia, Kingsley Warner berkata, setelah kejayaan menghasilkan naskhah berbentuk thriller seperti Hilang dan Nenek Bongkok Tiga, mereka sangat teruja untuk membawakan sebuah lagi naskhah buat peminat yang gemarkan siri bergenre ini.

“Dengan jalan cerita yang memukau, elemen mendebarkan serta watak-watak yang ditonjolkan menjadikan Nafsu adalah pilihan tepat untuk ditambahkan dalam senarai siri Viu Original kami.

“Pelakon kami, Kamal Adli, Azira Shafinaz dan Aqasha adalah nama yang sinonim dengan siri Viu Original. Sebelum ini mereka pernah membintangi Viu Original Black S1 & S2, Ijab Kabut dan Hilang.

“Nafsu adalah gandingan pertama mereka bertiga di dalam siri yang berbentuk supernatural dan thriller. Pengalaman dan variasi kemahiran lakonan tersendiri mereka pastinya akan memberikan penonton pengalaman menonton yang lebih tulen dan menarik,” katanya.

Nafsu menjanjikan sebuah pengalaman menonton yang tidak akan dilupakan, berlatarbelakangkan lokasi menarik dan bersejarah di Malaysia, hiruk-pikuk jalan di kota metropolitan Kuala Lumpur, Janda Baik dan Batu Caves.

Garapan sinematografi yang banyak bermain dengan cahaya di dalam siri ini akan membangkitkan mood seram dan mendebarkan serta memberi pengalaman menonton yang berbeza.

Bukan itu sahaja, tenaga produksi berusaha keras bagi mengekalkan keaslian lokasi dan menggambarkan hakikat kawasan kejiranan dalam siri ini.

Diarahkan oleh Sein Qudsi, ini adalah naskhah ketiga arahannya bagi Viu Original.

Bersama Ghaz Abu Bakar, Sein telah mengarah musim kedua Viu Original Black (2021), sebuah adaptasi drama Korea dengan tajuk yang sama.

Karya mereka telah menobatkan mereka anugerah kebangsaan untuk Pengarah Terbaik (Fiksyen) di Asian Academy Creative Awards 2021.

Sein turut menggubah lagu tema Viu Original Nafsu ini berjudul “Kala Tiba” yang dinyanyikan oleh penyanyi terkenal, Marsha Milan.