Tuesday, July 9, 2024

28 penduduk Skim Penempatan Semula Nanga Tada dipindah ke PPS akibat banjir kilat

SERAMAI 28 penduduk dari lima keluarga di Skim Penempatan Semula Nanga Tada yang terjejas akibat banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kanowit hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.16 pagi.

Katanya, seramai enam anggota dan pegawai bersama dua buah kenderaan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemantauan.

“Sebaik tiba, air telah naik pada paras kira-kira satu kaki lebih dari aras lantai dalam rumah dua tingkat termasuk tiga buah rumah setingkat yang berasingan.

“Pemindahan segera terpaksa dilakukan memandangkan keadaan air yang masih belum surut sepenuhnya serta cuaca yang masih hujan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, 28 orang mangsa termasuk dua kanak-kanak dipindahkan ke PPS Dewan Penghulu Seribu Nanga Tada yang dibuka pada 10.30 pagi.

Semua mangsa terbabit selamat dipindahkan dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Baca ini > PMX tiba di Kota Bharu tinjau situasi banjir di Kelantan