Friday, May 17, 2024

Abdul Hadi dedah ramai Ahli Parlimen tunggu masa sokong PN

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sekali lagi mendakwa kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini akan membolehkan berlaku perubahan dalam kerajaan Pusat dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Hadi yang juga Timbalan PN berkata, dakwaan itu berdasarkan terdapat sokongan daripada Ahli Parlimen di dalam parti gabungan Kerajaan Perpaduan termasuk dari Sabah dan Sarawak yang akan menyokong PN jika gabungan memenangi PRN di enam negeri.

Dakwa Abdul Hadi, Ahli Parlimen terbabit hanya menunggu masa untuk menyokong PN untuk membentuk kerajaan Pusat yang baharu termasuk sebahagian Ahli Parlimen UMNO yang menyokong PN bagi membantu PN membentuk kerajaan Pusat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Abdul Hadi
Abdul Hadi Awang.

“Asal (ada) 10 Ahli Parlimen UMNO nak sokong kita, mungkin 15 (Ahli Parlimen) tapi mereka ini dipaksa, diugut yang ada kes nak bawa ke mahkamah menyebabkan orang UMNO ini dalam ketakutan.

“Maka ditubuhkan Kerajaan Perpaduan dalam keadaan kacau-bilau, Kerajaan Perpaduan tapi berbalah sama sendiri, yang parti dalam kerajaan bantah kerajaan sendiri,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega PRN15 di Markas PAS Kampung Bukit Kecil Langkap, Kelantan, malam tadi.

Ceramah sama turut dihadiri empat calon Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Setiu iaitu calon DUN Jabi, Permaisuri, Langkap dan Batu Rakit.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, pembentukan kerajaan Pusat baharu itu penting untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara, di mana kemenangan PN pada PRN kali ini perlu bagi membolehkan perubahan berkenaan dilakukan.

Justeru, beliau mengingatkan semua petugas PAS untuk bekerjasama bagi memastikan kemenangan PN.

“Sebab itu saya harap petugas-petugas PAS ini bekerjasama, sama ada di tempat PAS bertanding (atau) BERSATU bertanding untuk memenangkan PN.

“Ini tujuan politik yang sangat besar untuk selamatkan agama, bangsa dan negara kita (agar) terus dipelihara oleh Islam…ini sangat penting, ini bukan kerja main-main, bukan kerja jual beli, bayar duit (tetapi) tanggungjawab yang sangat besar,” kata Abdul Hadi.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, Kerajaan Perpaduan akan terus memerintah negara ini walaupun PN sibuk mendakwa perubahan tampuk pentadbiran akan berubah pada bulan ini. Berita Harian



Sumber xklusif.my