Tuesday, July 9, 2024

Bekas Menteri Pendidikan meninggal dunia

BEKAS Menteri Pendidikan yang juga bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Musa Mohamad meninggal dunia, hari ini.

Difahamkan, Musa, 81, menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.12 malam tadi.

Berita pemergiannya dikongsikan oleh Timbalan Pendaftar USM, Mohamad Abdullah menerusi satu hantaran di Facebook, sebentar tadi.

“Mendapat khabar duka yang Naib Canselor USM ketiga, Tan Sri Musa Mohamad baru sahaja menghembuskan nafas terakhir.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan diletakkan bersama-sama hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Mohamad berkata, USM banyak terhutang budi kepada Allahyarham terutamanya dalam pembangunan fizikal dan akademik termasuk meletakkan asas yang kukuh kepada Pengajian Sains Perubatan dan Kejuruteraan.

“Seorang yang tegas dan berpandangan jauh, jovial, berprinsip serta berhati mulia.

“Secara peribadi saya banyak terhutang budi kepada beliau yang mencorakkan cara bekerja dan pemikiran sepanjang perkhidmatan di USM,” katanya.

Allahyarham Musa yang berkhidmat sebagai Naib Canselor USM dari 1982 hingga 1995 juga adalah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO antara tahun 2000 hingga 2003.

Beliau menyandang jawatan Menteri Pendidikan ke-14 bermula 1999 hingga 2004.

Baca ini > ADUN Sungai Bakap meninggal dunia