Sunday, May 5, 2024

Hayden dan Aaron Haikal bawa cabaran negara beraksi di Perlumbaan Thailand Super Series 2024

PASANGAN remaja adik-beradik Hayden dan Aaron Haikal akan membawa cabaran negara bersaing di dalam Kelas Super Eco siri perlumbaan Thailand Super Series (TSS) dari 3-5 Mei di Litar Antarabangsa Chang, manakala Hayden juga akan turut membuat penampilan sulungnya dalam Kejuaraan Supercar GT4.

Bagi Hayden, 19, ini merupakan tahun ketiganya bersaing dalam kejuaraan tersebut selepas menamatkan saingan sebagai naib juara keseluruhan pada 2022 dan menduduki tempat ke-3 keseluruhan tahun lepas sekaligus meletakkannya sebagai pemandu warga asing termuda dan paling cemerlang bersaing dalam TSS.

Mewakili pasukan baharu tahun ini – juga pasukan pemenang kejuaraan keseluruhan pada 2023 – Hayden akan memandu Suzuki Swift dan telah diberi mandat untuk mengetuai serangan 6 kereta untuk pasukan V-Are Pro Garage Racing.

“Saya diamanahkan memandu kereta pemenang kejuaraan tahun lepas, dan kereta yang jauh lebih baik dan lebih pantas berbanding kenderaan yang telah saya pandu selama 2 tahun lepas. Ini memberi perubahan yang sangat besar kepada harapan saya untuk merangkul kejuaraan keseluruhan kali ini. Namun begitu, terdapat peraturan baharu dikuatkuasakan musim ini bagi memastikan keseimbangan prestasi dan mengurangkan penguasaan Suzuki Swift bagi menjadikan perlumbaan lebih dekat. Mudah-mudahan ini tidak akan memberi kesan buruk kepada kereta,” kata Hayden.

Hayden juga akan membuat penampilan sulungnya dalam TSS The Super Series Supercar GT4 Class dengan memandu jentera Mercedes-Benz AMG GT4. Dia sebelum ini juga telah mencatatkan masa terpantas semasa ujian pra-musim.

Hayden Haikal

“Ujian pra-musim berlangsung dengan sangat positif dan menjanjikan. Memandu kereta GT4 adalah satu pengalaman yang berbeza dan ia memerlukan saya untuk menjadi lebih tepat dengan segala-galanya dari segi pemanduan. Kelajuan pastinya jauh lebih tinggi dan ini juga bermakna titik brek yang berbeza. Keputusan untuk naik ke GT4 adalah selaras dengan aspirasi saya berkembang sebagai pemandu profesional dan bersaing dalam kelas perlumbaan yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, penampilan ini adalah berdasarkan setiap pusingan, dan kesinambungan akan sangat bergantung pada sama ada saya boleh meraih penajaan yang mencukupi untuk bergerak ke hadapan.”

Mengambil bahagian dalam duia perlumbaan yang berbeza pada masa yang sama bagaimanapun, mempunyai pengorbanannya dan ini bermakna Hayden hanya akan mempunyai masa kurang daripada 30 minit untuk bersiap sedia untuk perlumbaan GT4 selama 1 jam selepas menamatkan aksi Super Eco 12 pusingan.

Bagi adik lelakinya Aaron yang berusia 16 tahun, keputusan untuk berlumba di Thailand dibuat berdasarkan prestasinya meraih kedudukan podium dalam siri perlumbaan GAZOO Racing Vios Challenge dan GAZOO Racing Sprint Cup. Dia akan menyertai perlumbaan bersama pasukan Pipekids Racing, pasukan yang sama yang telah berjaya memacu abangnya Hayden meraih tempat ketiga keseluruhan dalam Kelas Super Eco tahun lepas.

“Saya sangat bersyukur kerana pasukan telah meletakkan kepercayaan mereka kepada saya. Saya jelas sangat teruja kerana ini akan menjadi perlumbaan antarabangsa pertama saya. Matlamat saya ke pusingan pertama adalah untuk menamatkan saingan di kedudukan10 teratas kerana ini adalah kelas yang sangat kompetitif,” kata Aaron.

“Tumpuan akan diberikan terhadap melaraskan persediaan kereta untuk prestasi maksimum. Ini akan membantu menetapkan asas untuk prestasi saya di sepanjang kejohanan. Hayden telah berjaya membuktikan kereta yang akan saya pandu musim ini mampu meraih kemenangan dan ini meningkatkan tahap keyakinan saya.

Aaron Haikal

“Saya belum berpeluang menguji kereta itu tetapi saya sangat kagum dengan tenaga pasukan Pipekids Racing. Walaupun ini baru tahun kedua mereka berada di dalam kejuaraan, pasukan itu telah mencapai kemajuan yang luar biasa dan sangat komited dalam meningkatkan prestasi mereka. Mereka telah melalui sat fasa pembelajaran yang begitu curam dan saya bangga dengan apa yang telah mereka capai dalam tempoh yang amat singkat. Saya juga komited untuk memberikan yang terbaik untuk membantu pasukan mencapai lebih banyak kejayaan tahun ini.” – REFLEKS!

Baca ini > Bendix to power 2024 SKILLDRVN One Make Race Series and Kenny Lee as its brand ambassador