Tuesday, July 9, 2024

Masih ada peluang untuk Harimau Malaya cipta kejayaan

HARIMAU MALAYA berada dalam misi yang amat sukar untuk melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket awal ke Piala Asia 2027 selepas terikat 1-1 dengan Kyrgyzstan, awal pagi tadi.

Keputusan di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek itu bermakna Harimau Malaya perlu menang besar ke atas Taiwan dalam aksi terakhir Kumpulan D di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini sambil mengharapkan Kyrgyzstan tewas kepada Oman.

Skuad kendalian Kim Pan Gon berada di kedudukan ketiga kumpulan dengan mengumpul tujuh mata, ketinggalan tiga mata di belakang Kyrgyzstan yang menghuni tangga kedua.

Namun, Harimau Malaya ketinggalan dengan jumlah yang besar dari aspek perbezaan gol apabila berada dalam keadaan bolos dua gol (-2) manakala Kyrgyzstan dengan kelebihan enam gol (+6).

Ia sekali gus menyaksikan skuad negara perlu mengatasi pasukan ranking 159 dunia, Taiwan sekurang-kurangnya dengan jaringan lapan gol tetapi tetap perlu mengharapkan ‘bantuan’ Oman mengatasi Kyrgyzstan di Muscat.

Pan Gon bagaimanapun belum mengangkat bendera putih atau menyerah kalah, sebaliknya optimis Harimau Malaya masih memiliki peluang dan menegaskan pasukannya akan berjuang hingga penghujung.

Mengakui berdepan tugas sukar, pengendali dari Korea Selatan itu menjelaskan bahawa Harimau Malaya mempunyai pengalaman menewaskan Papua New Guinea 10-0 di gelanggang sendiri.

“Kami sedar anda (Kyrgyzstan) mempunyai kelebihan besar, mungkin lapan (gol). Tapi kami mungkin boleh jaringkan lebih lapan gol dalam perlawanan seterusnya, di tempat sendiri, kami juga ada kelebihan.

“Pasukan anda bolos empat gol (menentang Malaysia di Stadium Nasional). Jadi saya percaya kami boleh buat sesuatu, kami akan berjuang hingga penghujung.

“Kami mahu lanjutkan perjuangan hingga ke perlawanan seterusnya di tempat sendiri. Kami mahu buat sesuatu, jika kami jaringkan lebih tujuh gol dan anda tewas 0-2 (kepada Oman), kami akan layak,” katanya selepas perlawanan.

Selain itu, Pan Gon seakan sukar menerima jaringan Kyrgyzstan kerana mendakwa bola terkena tangan pemain sebelum Gulzhigit Alykulov menjaringkan gol itu pada minit ke-24.

Pengendali berusia 55 tahun itu turut menafikan Harimau Malaya lebih bermain dengan corak permainan bertahan dalam perlawanan itu.

“Kami mencipta banyak peluang, saya fikir Kyrgyzstan bernasib baik, jaringan anda ‘handball’. Kami cipta banyak peluang, jadi saya tidak fikir kami bermain bertahan. Terima kasih kepada penyokong yang sanggup datang menyokong kami,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Baca ini > Padang SNBJ sedia terima cabaran Harimau Malaya-Taiwan