Thursday, May 2, 2024

Perbelanjaan pelancongan domestik meningkat, catat RM84.9 bilion

PRESTASI pelancongan domestik Malaysia pada tahun lalu merekodkan 210.9 juta pelawat, meningkat 22.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata rekod ketibaan pelawat itu mencatatkan RM84.9 bilion perbelanjaan pelancongan domestik iaitu meningkat 32.5 peratus berbanding 2022.

“Bagaimanapun, kedua-dua statistik ini masih di bawah paras pra-pandemik (2019) dengan pelawat domestik merekodkan -11.8 peratus dan perbelanjaan pelancongan domestik berkurang -17.7 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Uzir berkata, pelancongan domestik di Malaysia pula merekodkan 54.3 juta pelawat pada suku keempat 2023, melonjak 16.1 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

“Sementara itu, bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pelawat domestik meningkat 1.6 peratus. Bagi perbelanjaan pelancongan domestik, ia mencatatkan RM23.8 bilion, menandakan peningkatan 29.5 peratus tahun ke tahun dan peningkatan 18.5 peratus suku tahun ke suku tahun,” katanya.

Mengulas prestasi industri pelancongan pada suku keempat 2023, Mohd Uzir berkata, indeks hasil taman tema meningkat 49.2 peratus tahun ke tahun, diikuti ketibaan di lapangan terbang domestik (+1.7 peratus), trafik lebuh raya (+10.9 peratus) dan jualan runcit bahan api (+3.4 peratus).

“Sementara itu, indeks hasil penginapan juga meningkat dengan merekodkan 12.5 peratus. Kadar penghunian hotel lima bintang meningkat 2.1 peratus, diikuti hotel empat bintang (+0.7 peratus) dan hotel tiga bintang (+14.8 peratus).

“Kadar penghunian mengikut lokasi di bukit dan bandar masing-masing meningkat 2.2 peratus dan 2.6 peratus, berbanding suku tahun yang sama tahun lalu,” katanya.

Baca ini > “Discover Putrajaya” ketengahkan 11 produk pelancongan menarik