Friday, May 17, 2024

PSG janji kebangkitan di Paris dalam perlawanan seterusnya

JURULATIH Paris Saint-Germain (PSG) Luis Enrique tetap menaruh harapan pasukannya boleh layak ke final Liga Juara-Juara sekalipun tewas 1-0 kepada Borussia Dortmund pada separuh akhir pertama di gelanggang lawan awal pagi tadi.

“Ini bola sepak. Sering kali ia luar biasa dan banyak kali ia seperti ini. Kami lebih suka berada dalam situasi berbeza, tetapi saya fikir apabila anda lihat semula ia satu perlawanan yang amat seimbang,” kata pengendali dari Sepanyol itu kepada penyiar Canal Plus selepas pasukannya tumpas menerusi gol tunggal Niclas Fuellkrug pada babak pertama.

Juara Perancis itu lebih banyak menguasai pegangan bola dan percubaan ke arah gol tetapi dikecewakan oleh penyudah kurang berkesan dan mungkin tiada nasib – percubaan Kylian Mbappe dan Achraf Hakimi terkena palang dalam satu gerakan serupa pada babak kedua.

“Tiada siapa pernah berkata ia mudah pada separuh akhir Liga Juara-Juara. Pemain di bilik persalinan agak kecewa. Kami mempunyai satu peluang yang mana percubaan kami singgah di palang,” kata Enrique.

“Anda perlu katakan ini stadium luar biasa tetapi saya yakin kami akan lebih kuat di Paris dan kami tidak takut apa-apa.”

Ia hanya kekalahan kelima PSG sepanjang musim ini dan kali pertama mereka tumpas di bawah kendalian Enrique tanpa menjaringkan gol.

Bagaimanapun, mereka boleh menaruh harapan kerana sudah mengalahkan Dortmund di laman sendiri pada kempen semasa, menang 2-0 di Parc des Princes apabila kedua-dua pasukan bertemu pada peringkat kumpulan September lalu.

Mereka juga mengatasi defisit 3-2 aksi pertama sebelum menyingkirkan Barcelona pada suku akhir apabila menang 4-1 pada aksi timbal balik.

Sebelum ini, PSG menyingkirkan kelab Jerman itu daripada Liga Juara-Juara pada pusingan 16 terakhir pada 2020 dengan kemenangan 2-0 di laman sendiri selepas kecundang 2-1 pada aksi pertama di gelanggang lawan.

“Kami dua pasukan yang suka menyerang, yang suka memegang bola, yang menekan lawan. Ia satu perlawanan yang amat fizikal,” kata kapten PSG, Marquinhos kepada Canal Plus.

“Dari segi keputusan benar kami mempunyai banyak peluang, terutamanya pada babak kedua, peluang baik yang tidak harus kami sia-siakan jika kami mahu layak ke final.

“Di laman sendiri kami benar-benar perlu memastikan kami menyempurnakan peluang sebegitu.”

Pemain dari Brazil itu menambah: “Sering kali terlalu sukar untuk bermain di sini. Kami mahu datang ke sini dan menang. Kami gagal melakukannya tetapi ia hanya 1-0.

“Kami pernah melakukannya sebelum ini. Kami sudah membuktikan kami boleh melakukannya, terutama di laman sendiri dengan tenaga dicetuskan penyokong kami. Saya pasti suasananya berbeza di sana nanti.” – AFP

Baca ini > Bincang pembangunan bola sepak negara, TMJ jemput Figo ke Johor Bahru