Sunday, May 19, 2024

Bank Rakyat rai 700 anak yatim sempena Aidilfitri di seluruh negara

BANK RAKYAT terus mengukuhkan komitmen kemasyarakatannya dengan menghulurkan sumbangan berjumlah keseluruhan RM70,000 kepada 700 anak yatim daripada golongan asnaf menerusi program Cahaya Aidilfitri baru-baru ini di lebih 20 lokasi di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, program bersempena dengan kempen Ramadan ‘Tulus Ikhlas’ dan ulang tahun Bank Rakyat yang ke-70 pada tahun ini bertujuan untuk memupuk semangat muhibah, selain merupakan inisiatif Jangkauan Komuniti Madani Bank Rakyat untuk mendekati dan menyumbang kembali kepada masyarakat setempat, termasuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

“Bank Rakyat sentiasa mementingkan sebuah hubungan melebihi perniagaan dengan menganjurkan pelbagai inisiatif yang dapat memberi manfaat untuk kemakmuran bersama, selain mewujudkan impak positif dalam kalangan masyarakat di sekitar lokasi Bank beroperasi, seiring dengan nilai ihsan dan kesejahteraan dalam konsep Malaysia Madani.

“Justeru, Bank Rakyat mengambil pendekatan sebegini bagi menceriakan dan mencipta kenangan manis untuk anak-anak yatim ini dalam menyambut dan meraikan hari lebaran seperti kanak-kanak yang lain,” kata Dato’ Dr. Mohammad Hanis.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama 16 cawangan Bank Rakyat yang melibatkan 11 rumah kebajikan, 11 buah sekolah serta tujuh buah masjid.

Antara penerima yang terlibat termasuk Rumah Titian Kaseh, Kuala Lumpur; Rumah Anak Yatim Ar-Rayyan, Sabah; Sekolah Kebangsaan Pekan Nanas, Johor; Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim (PERKAYA) Marang, Terengganu; Sekolah Kebangsaan Abang Ali, Sarawak; Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Permata Al-Kauthar, Pahang dan Masjid Al-Wustha Guar Chempedak, Kedah. – REFLEKS!

Baca ini > Bank Rakyat peruntuk RM1.48 juta menerusi Program Imarah Ramadan