Friday, May 17, 2024

Calon PN DUN Juasseh terkejut penemuan kepala babi di hadapan bilik gerakan

KUALA PILAH – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Datuk Eddin Syazlee Shith mengakui agak terkejut apabila dimaklumkan mengenai penemuan kepala babi yang diletakkan di atas bendera parti gabungan itu di hadapan bilik gerakan, pagi tadi.

Laporan Sinar Harian menyebut Eddin sebagai berkata, beliau mendapat maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 8.30 pagi, disertai dengan gambar.

Kata Eddin lagi, selain di bilik gerakan, beliau difahamkan terdapat kejadian sama berlaku membabitkan kediaman salah seorang pegawainya sekitar di daerah ini.

“Dalam politik macam itulah kan, kita sudah menjangkakan lebih teruk daripada itu pun mungkin berlaku. Tetapi tidak mengapalah kita kekal tenang, saya ingat ini mungkin tindakan-tindakan untuk mengalihkan tumpuan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang tinggal berbaki dua tiga hari sahaja.

“Ia juga mungkin tindakan orang terdesak dan kita anggap ini sebahagian daripada cabaran. Kita tak boleh tuduh sesiapa sebab kita nak jaga sensitiviti banyak pihak,” katanya kepada pemberita di bilik gerakan berkenaan, di sini hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah itu berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk tindakan lanjut mengikut lunas undang-undang.

Dalam pada itu, Eddin yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kuala Pilah turut mengingatkan supaya jentera partinya kekal positif.

“Dalam ceramah saya malam tadi, saya nasihatkan jentera parti kalau kita nampak bendera pihak lawan itu tumbang kita sama-sama naikkan. Kita mahu satu budaya politik yang sihat dan positif.

“Sebab peredaran zaman dan pendekatan politik itu lebih matang, tetapi kalau ada sesetengah orang yang masih nak gunakan cara begini, itu sangat memalukan agama,bangsa dan juga masa depan anak-anak kita yang melihat perkara negatif dan tak sihat macam ini,” katanya.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh pengarah pilihan raya PN DUN Juasseh.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani ketika dihubungi mengesahkan laporan dan ia masih dalam siasatan polis.

Sumber malaysiatribune.news