Sunday, May 19, 2024

Doktor “kurang ajar” cabul tiga pesakit kanak-kanak perempuan

MELETAKKAN kepercayaan kepada seorang doktor  untuk rawatan ketika sakit tidak bermakna membenarkan doktor melakukan perbuatan yang tidak senonoh ke atas pesakitnya.

Apatah lagi kalau pesakit yang dirawat itu ialah golongan kanak-kanak yang pasti akan meninggalkan trauma yang mendalam terhadap diri mangsa.

Mungkin ada segelintir ibu bapa yang merasa takut untuk membawa anak-anak ke hospital susulan kes doktor melakukan perbuatan amang seksual terhadap pesakit kanak-kanak yang dirawat di hospital di Terengganu.

Jika inilah yang berlaku, tiada siapa boleh menyalahkan ibu bapa kerana kejadian lepas satu, satu itu membabitkan mangsa berusia 12, lapan dan sembilan tahun.

Hari ini, dua lagi laporan polis dibuat membabitkan seorang doktor yang ditahan di Hospital Kemaman berhubung kes amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan bawah umur.

Doktor itu ditahan kelmarin dan  laporan dibuat oleh mangsa bersama penjaga masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

Menurut ibu bapa dua mangsa terkini mendakwa, anak mereka dicabul oleh pegawai perubatan berkenaan ketika menerima rawatan di hospital yang sama.

Kedua-kedua mangsa mendakwa kejadian itu berlaku sejak awal Januari lalu dan polis sedang menyiasat sama ada kedua-dua kanak-kanak ini menjadi mangsa amang seksual secara fizikal sama seperti mangsa pertama yang membuat laporan pada minggu lalu.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dirujuk ke Pusat Siasatan Khas Polis Bahagian Siasatan Kanak-kanak D13 Kontinjen Terengganu untuk tindakan lanjut.

Media pada Jumaat lalu melaporkan, doktor berusia 30 tahun itu direman tujuh hari sehingga esok, Khamis bagi membantu kes cabul terhadap seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang juga pesakitnya.

Kanak-kanak yang menghidap diabetes itu mendakwa pegawai perubatan terbabit membuka baju serta meraba dadanya.

Selain itu suspek turut merakam perbuatan tersebut menggunakan telefon bimbitnya ketika menerima rawatan di bilik rawatan wad hospital tersebut, Rabu lalu.

Pegawai perubatan itu kemudian ditahan Khamis lalu susulan laporan polis dibuat ibu bapa kanak-kanak berkenaan.

Profesion sebagai seorang doktor dipandang tinggi dan tentunya seseorang doktor itu mengangkat sumpah untuk menyelamatkan nyawa pesakit sekalipun pesakit itu ialah musuhnya sendiri.

Apabila doktor berkelakuan tidak senonoh, mengambil kesempatan ke atas pesakit terutamanya pesakit itu ialah kanak-kanak, apakah yang tidak kena dengan minda doktor yang berkenaan.

Apakah dia mempunyai masalah mental atau gangguan mental sehinggakan dia sanggup melakukan perbuatan tidak senonoh itu terhadap pesakitnya sendiri?

Sumpah yang dibuat oleh seseorang doktor itu janganlah dijadikan sumpah laknat! – REFLEKS