Tuesday, July 9, 2024

Mydin perkenal aplikasi e-dompet mudah alih, tawar 5 peratus rebat

MYDIN Mohamed Holdings Berhad (Mydin) muncul sebagai pemborong dan peruncit halal terbesar pertama di Malaysia memiliki e-dompet mudah alih, ‘MYDINPay’ setanding syarikat gergasi lain.

Aplikasi berkenaan direka khas untuk merevolusikan pengalaman membeli-belah pelanggan.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira (Dr) Ameer Ali Mydin berkata, melalui aplikasi MYDINPay, pelanggan bakal menikmati proses pembayaran yang lancar, selamat dan efisien berbanding sebelum ini.

Selain itu, aplikasi berkenaan akan memudahkan transaksi, serta menyediakan pelanggan dengan pelbagai manfaat tambahan termasuk promosi eksklusif.

“Sebagai pemain industri, kami menyedari pentingnya supaya perniagaan yang dijalankan mengikut arus dan beradaptasi dengan peralihan teknologi digital.

“Bagi memastikan kami mengikut tuntutan tersebut, Mydin melaksanakan langkah proaktif bagi memanfaatkan penggunaan teknologi digital,” katanya dalam majlis perasmian MYDINPay di Mydin Subang Jaya di sini, semalam.

Turut hadir dalam majlis perasmian berkenaan, Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Bersempena pelancaran ‘MYDINPay’, 1,000 pengguna terawal yang mendaftar dalam aplikasi berkenaan bakal mendapat baucar RM5, sementara 3,000 pelanggan pertama yang membelanjakan RM150 ke atas dengan aplikasi di mana-mana cawangan MYDIN layak menikmati pulangan tunai sebanyak lima peratus.

Pembangunan aplikasi ‘MYDINPay’ direalisasikan melalui kerjasama MYDIN dengan Wavpay bermula Oktober 2023.

Kerjasama ini memperkenalkan MYDIN sebagai Rakan Dompet Omnichannel pertama, merupakan program yang memanfaatkan infrastruktur e-dompet yang mantap daripada Wavpay.

Inisiatif ini membolehkan rakan kongsi mencipta aplikasi mereka sendiri dengan ciri e-dompet bagi memudahkan transaksi digital dan meningkatkan penglibatan dengan pengguna sasaran mereka.

Baca ini > Pembayaran digital bukan hanya untuk Gen Z. Baby Boomer ini lebih suka telefon dan jam tangan daripada tunai dan kad kredit