Friday, May 17, 2024

Rangka manusia sah milik Bella

POLIS mengesahkan penemuan rangka manusia tidak sempurna di sebuah rumah terbengkalai di Lorong Imam Jailani Kampung Batu 7 Tongkang Pecah, Johor pada Jumaat lalu adalah Bella.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, laporan analisa ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sudah diterima lewat petang Selasa.

“Melalui laporan itu mengesahkan hasil analisis DNA didapati ia sepadan dengan sampel yang diambil dari ibu dan kakak Mira Sharmila Samsusah, 32, atau Bella yang dilaporkan hilang pada 14 Disember tahun lalu.

“Sampel patologi telah dihantar ke Jabatan Kimia Johor pada 21 Januari dan laporan analisa DNA diterima pihak polis hari ini.

“Pihak polis sudah menghubungi keluarga mangsa untuk menuntut mayat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru,” katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Menurut Ismail lagi, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri dan mendapat arahan tuduh salah seorang tangkapan dalam tahanan reman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majestrit Batu Pahat esok (hari ini),” katanya.

Baca ini > Kehilangan Bella: Keputusan DNA diketahui minggu depan