Thursday, May 2, 2024

Akademi Qurra’ 2024 milik pelajar Tilmiz Amnan

MELABUHKAN tirainya malam kelmarin, Akademi Qurra’ 2024 mengangkat Tilmiz Amnan sebagai juara program berkenaan untuk musim kedua.

Disiarkan secara langsung dari Studio Pusat Penyiaran TV AlHijrah, kemenangan itu melayakkan Amnan atau nama sebenarnya Muhammad Amnan Muhammad Sani, 23, membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000.

Berkongsi perasaannya, Amnan berkata dia sedikit pun tidak menyangka bakal bergelar juara disebabkan saingan yang begitu sengit.

“Saya memang tidak sangka bakal menjadi juara kerana ada juga kesalahan yang saya lakukan pada malam akhir ini. Tambahan lagi sepanjang program ini saya kerap tidak sihat.

“Rasa sangat letih kerana perlu bekerja keras untuk memberikan persembahan yang terbaik setiap minggu sehingga ada satu tahap saya rasa hampir tepu,” katanya.

Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh Tilmizah Syahira atau Nur Syahira Saiful Adli yang membawa pulang RM10,000 manakala Tilmizah Sofea mendapat tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai RM5,000.

Pentas akhir Akademi Qurra’ 2024 menyaksikan Tilmiz Luqman dan Tilmizah Sholihah sekadar meraih hadiah sagu hati dengan masing-masing membawa pulang RM1,000.

Dalam pada itu, Mudarrisah Nadia Hashim selaku tenaga pengajar memenangi Anugerah Mudarris Terbaik sekali gus mendapat hadiah wang tunai RM3,000.

Bagi Anugerah Alunan Terindah pula diberikan kepada Tilmizah Syahira dan memenangi hadiah wang tunai RM500.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris berkata beliau gembira program ini terus mendapat perhatian dan tahun ini rating penonton terus meningkat.

“Kita gembira dengan sambutan yang diterima terhadap program ini. Menerusi program ini kami berharap dapat melahirkan lebih ramai lagi pelapis dan generasi baru untuk terus mencintai al-Quran.

“Kita juga sentiasa memberi peluang kepada juara untuk terbabit dalam pelbagai program di bawah terbitan TV AlHijrah,” katanya.

Akademi Qurra 2024 yang dihoskan oleh Raqib Majid, turut menampilkan Mudarris Ammar Mukhlis, Mudarrisah Suhailah Zulkifly dan Mudarrisah Nadia Hashim yang bertindak selaku tenaga pengajar.

Program yang ditayangkan selama lapan minggu pada setiap Sabtu jam 9 malam itu menampilkan juri tetap Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman dan Ustaz Muhammad Qayyim Nizar Sarim. – REFLEKS!

Baca ini > Langkah Tilmizah Sholihah terhenti di minggu ketiga Akademi Qurra’ 2024