Friday, May 17, 2024

Angkara bermain bunga api: Tubuh kecil Nur Zatil Hidayah disambar api

SECERDIK-CERDIK budak, ada bodohnya. Ya, bunyi kenyataan ini agak kasar tetapi ada kebenarnnya kerana kecerdikan seorang kanak-kanak itu belum tentu boleh diharap seratus peratus.

Ibu bapa jangan terlalu membiarkan anak-anak bermain bunga api tanpa pengawasan orang dewasa di bulan Ramadan ini.

Beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut 1 Syawal, Hari Raya Aidilfitri, malang sungguh buat seorang kanak-kanak perempuan berumur empat tahun yang terpaksa berhari raya di hospital.

API…kecil menjadi kawan, besar menjadi lawan. Anak-anak yang bermain bunga api, mesti diawasi oleh orang dewasa.

Puncanya, dia bermain bunga api bersama dua orang abangnya di halaman rumah dan dua orang abangnya itu pula, masing-masing berumur tujuh dan 10 tahun. Juga dikategorikan sebagai kanak-kanak lagi.

Apalah seorang abang berusia tujuh dan 10 tahun mampu lakukan apabila melihat adik perempuan mereka terbakar disambar api?

Pasti kedua-dua orang abang ini menjerit dan ketakutan melihat api menyambar sebahagian daripada tubuh kecil adik perempuan mereka.

Inilah kejadian yang berlaku di Kampung Senara, Kubur Panjang, Pendang, Kedah, malam kelmarin.

Mangsa, adik Nur Zatil Hidayah Mohd Tarmizi melecur hampir 46% pada sebahagian badannya.

Ketika kejadian sekitar pukul 10.30 malam itu, kedua ibu bapa kanak-kanak tiga beradik ini berada di dalam rumah menonton televisyen.

Sejurus terdengar jeritan anak mereka, pasangan suami isteri ini berlari keluar dan mendapati dua anak lelaki mereka sedang cuba memadamkan api yang membakar tubuh mangsa.

Bapa mangsa kemudian mengambil sebaldi air lalu dijirus pada bahagian badan anaknya yang terbakar itu sebelum terus membawa mangsa ke Hospital Pendang.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut berikutan bapa mangsa mendakwa anak perempuannya itu terbakar selepas disambar api pelita minyak tanah ketika ingin menyalakan bunga api.

Kejadian sebenar hanya akan diketahui selepas polis mengambil keterangan daripada dua abang mangsa namun buat masa ini, kedua-dua kanak-kanak lelaki itu masih trauma dengan insiden yang berlaku.

Mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk rawatan lanjut. –  REFLEKS