Friday, May 17, 2024

Bekas Pelapor Khas PBB Dedah Tindakan Genosid Israel Disokong Barat

ANKARA: Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai atau genosid di Gaza dengan sokongan dan persetujuan Barat, menurut bekas pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Palestin.

“Ini situasi sangat luar biasa, yang ditekankan oleh fakta bahawa ia pembunuhan beramai-ramai pertama yang disahkan dan disokong oleh demokrasi liberal Barat,” kata Profesor Emeritus Undang-undang Antarabangsa di Princeton University, Richard Falk kepada Agensi Anadolu , mendakwa pihak berkenaan ‘memilih bulu’.

Beliau berkata, pentadbiran Benjamin Netanyahu akan menghadapi ‘dilema’ dalam masa terdekat mengenai caranya mengimbangi hubungan dengan PBB dan Amerika Syarikat (AS).

“Di Israel sendiri, Netanyahu sangat tidak popular. Oleh itu, terdapat kemungkinan besar taktiknya mewujudkan perang yang lebih luas di rantau ini bermatlamat mengalihkan perhatian daripada kegagalan dasar terhadap Palestin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan Presiden AS, Joe Biden tidak menyokong serangan yang dilakukan oleh tentera Israel di wilayah Deir al-Belah di Gaza pada 1 April sehingga mengorbankan tujuh pekerja World Central Kitchen (WCK).

Bagaimanapun, katanya Biden menyokong tindak balas tentera Israel terhadap Iran.

“Dan itu hampir menandakan isyarat kepada Israel untuk meluaskan konflik, menghilangkan tekanan daripada hubungan antara Israel dan Palestin yang didudukinya itu. Terdapat satu lagi elemen penting di sini,” katanya.

Falk berkata, sokongan Biden terhadap Israel menyebabkan ketidakselesaan terutama dalam kalangan umat Islam di AS.

“Biden sekarang ini tidak mempunyai banyak masa, antara kempen pilihan rayanya di AS untuk memastikan dirinya memperoleh penggal kedua sebagai presiden pada November, yang menghadapi banyak tentangan daripada pihak yang biasanya Demokrat.

“Ia juga termasuk komuniti Muslim Amerika yang menunjukkan rasa tidak puas hati dengan cara AS bertindak balas terhadap tempoh penganiayaan ke atas rakyat Palestin di Gaza ini,” katanya.

Ketegangan antara Iran dan Israel semakin memuncak hujung minggu lalu selepas Tehran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu sebagai tindak balas terhadap serangan 1 April ke atas konsulatnya di Syria, yang mengorbankan tujuh pegawai tentera Iran termasuk dua komander tertinggi.

Sebagai tindakan balas, Israel dilaporkan melakukan ‘serangan terhad’ di dalam Iran pada awal pagi Jumaat, yang menurut laporan media Israel ‘bertujuan menghantar isyarat dan bukannya menyebabkan kerosakan’.

Setakat ini, Israel tidak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu dan tiada komen rasmi daripada pihak berkuasa.
– AGENSI