Friday, May 17, 2024

Dolla bersedia teruskan perjuangan seni tanpa Syasya

ATAS sebab peribadi ahli kumpulan Dolla, Syasya atau nama sebenarnya Noor Syasya Afiqah Shahrizal, 23, telah mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada kumpulan berkenaan.

Dolla yang ditubuhkan pada tahun 2019 di bawah syarikat rakaman Universal Music Malaysia, mula mencuri perhatian peminat muzik tempatan dengan single pertama mereka ‘Dolla Make You Wanna’ yang dilancarkan pada 20 March 2020.

Sehingga kini, Dolla telah mengeluarkan enam single solo, termasuk hits seperti Impikan, BAD, dan satu album penuh berjudul New Classic pada November 2023.

Kumpulan yang turut dianggotai oleh Angel, Sabronzo dan Tabby ini pernah merangkul anugerah Top Meletop Kumpulan/Duo di Anugerah Meletop Era 2021, selain dinobatkan sebagai Kolaborasi/Artis Berkumpulan Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH35) tahun 2022 serta Lagu Trending Tergempak dan Video Muzik Tergempak di Gempak Most Wanted Awards 2023.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, walaupun berasa berat hati menerima keputusan Syasya, pihaknya tetap menghormati pendirian beliau dan sentiasa mengharapkan yang terbaik buat Syasya.

Sementara itu, tiga lagi ahli kumpulan Dolla iaitu Angel, Sabronzo dan Tabby, akan meneruskan perjuangan seni buat peminat di dalam dan luar negara.

Tabby berkata, tahun ini pihak Universal Music Malaysia telah membuat pelbagai perancangan untuk memastikan kumpulan ini menempah nama di persada muzik Asia Tenggara, dan mereka tetap akan meneruskan perancangan berkenaan.

“Tentulah kami berasa sedih dengan perkembangan ini, tapi kami sudah sepakat akan memberikan sokongan penuh kepada Syasya walau apa jua keputusan yang dia lakukan,” katanya.

Sabronzo pula berkata, mereka tetap akan memberikan komitmen penuh untuk menjayakan segala perancangan Dolla sebagai kumpulan.

“Hubungan kami sangat erat dan kami tetap anggap Syasya sebagai keluarga Dolla.

Persahabatan yang dibina selama ini tidak akan terputus begitu sahaja,” kata Angel pula.

Baru-baru ini, Dolla telah dipilih untuk mewakili Malaysia dalam satu rancangan baharu di China – ‘Show It All’ – yang menampilkan Lay Zhang, ahli kumpulan EXO sebagai penerbit eksekutif.

Rancangan itu disiarkan melalui salah satu stesen televisyen utama negara terbabit iaitu MangoTV. – REFLEKS!

Kredit: max-infos.com