Friday, May 17, 2024

Eizlan Yusof pandai main politik, dilantik Ketua Penerangan Negeri parti Pejuang WP

TERINGAT suatu ketika Barisan Nasional (BN) bersama parti komponen terkuatnya, UMNO berkuasa dan memerintah sebagai Kerajaan, rata-rata artis tanah air memberi sokongan kepada UMNO.

Ketika itu, arwah Mak Enon misalnya, membuat persembahan bersama-sama dengan artis-artis lain sepanjang kempen pilihan raya.

Di atas pentas pilihan raya, penyanyi akan menghiburkan orang ramai yang hadir untuk mendengar kempen pilihan raya.

Tetapi itu semua sudah berlaku kerana selepas BN tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018, nampak perubahan apabila artis tanah air secara terang-terangan menjadi ahli dan penyokong bukan parti UMNO.

Afdlin Shauki antara artis tanah air yang bukan penyokong UMNO. Hari ini, pelakon Datuk Eizlan Yusof juga bukan penyokong UMNO sebaliknya dia ialah penyokong Pejuang, parti yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kehadiran Eizlan dengan populariti yang diciptanya sebagai artis menjadi tarikan untuk orang ramai dan ahli-ahli Pejuang menyokong dia sebagai Ketua Penerangan Negeri Pejuang, Wilayah Persekutuan.

Pelantikan Eizlan ke jawatan itu berkuatkuasa pada 12 Oktober 2022 lalu seperti mana diumumkan oleh Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan yang juga suami kepada aktres Umie Aida, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Pengumuman yang dibuat oleh Khairuddin yang juga adik ipar kepada aktres, pengarah, produser Erma Fatima itu dibuat ketika Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Negeri (MPN) di Pejabat Pejuang Wilayah Persekutuan baru- baru ini dan semestinya dipersetujui oleh kesemua Ahli MPN Wilayah Persekutuan.

Pada masa ini gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) masih belum berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Oleh itu, pada PRU15 yang tarikhnya masih belum diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), parti komponen GTA yang lain akan bertanding di bawah Pejuang. – REFLEKS