Friday, May 17, 2024

Hanya 0.02 peratus penuhi ikrar derma organ – Dr. Noor Hisham

INSTITUT Jantung Negara (IJN) menyatakan kebimbangan terhadap trend penderma organ yang semakin sedikit sehingga menjejaskan usaha menyelamatkan nyawa manusia.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini terdapat seramai 382,020 orang sudah menyatakan ikrar untuk menderma organ selepas meninggal dunia.

Namun begitu, jelasnya, hanya 0.02 peratus daripada jumlah tersebut melunaskan ikrar itu manakala baki yang lain tidak berjaya dilaksanakan atas beberapa kekangan.

“Cabaran yang kita ada selama 30 tahun ialah untuk mendapatkan organ, KKM tak dapat memperkembangkan lagi Hospital Transplant dan sebagainya kerana kita ada kekangan untuk mendapatkan organ.

“Jadi kita memerlukan kerjasama daripada setiap individu yang telah pun berikrar untuk menderma organ. Tetapi hanya 0.02 peratus sahaja yang berakhir dengan pendermaan organ.

“Walaupun kita ikrar tetapi bila hari menderma organ itu sampai, ada keluarga tak setuju dan sebagai,” katanya dalam sidang media meraikan kejayaan dua pemindahan hati di IJN, hari ini.

Noor Hisham menambah, mungkin sesuatu perlu dilihat oleh pengubal undang-undang berkenaan isu ini yang boleh menjejaskan perkembangan atau kemajuan sistem kesihatan negara.

Ujarnya, Malaysia wajar mencontohi Turki yang mencatatkan jumlah pendermaan organ tertinggi di dunia sama ada untuk jantung, hati, paru-paru dan juga pinggang.

Beliau berkata, meskipun pihak berkuasa agama telah mengeluarkan fatwa berkenaan derma organ namun masih terdapat stigma buruk dalam kalangan masyarakat berhubung isu ini.

“Ini (isu perundangan) mungkin akan didebatkan untuk kita dapatkan pandangan setiap lapisan masyarakat iaitu untuk kita dapatkan organ, jadi sekarang ini bila kita ikrar baru kita derma organ.

“Jadi ini kena kita bincang untuk diurus dengan semua lapisan masyarakat, kalau semua setuju barulah kita dapat laksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya lagi. – REFLEKS! 

Baca ini > Kejayaan IJN lakukan dua pemindahan jantung beri harapan kepada pesakit