Friday, May 17, 2024

Kerajaan perkenal progam insentif galak pemasangan sistem solar PV

KERAJAAN Madani akan memperkenalkan satu program khusus untuk menggalakkan pemasangan sistem solar PV oleh pengguna domestik iaitu Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelancaran SolaRIS dijangka akan meningkatkan penerapan penjanaan solar di kalangan rakyat di bawah Program Net Energy Metering (NEM).

Katanya, antara ketetapan program itu adalah pemberian rebat berjumlah RM1,000/kWac sehingga maksimum RM4,000 kepada pengguna baharu NEM Rakyat yang mengemukakan permohonan NEM kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia pada dan selepas 1 April ini.

Selain itu, jelas beliau, skim tersebut turut terbuka kepada semua warga negara Malaysia dengan had tuntutan sekali bagi setiap seorang yang merupakan pemegang akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Skim ini adalah terbuka kepada mereka yang merupakan pemohon kali pertama bagi Program NEM.

“Pemberian rebat adalah berdasarkan prinsip first come first served bagi kuota NEM Rakyat yang dimohon bermula 1 April sehingga 31 Disember ini.

“Permohonan NEM Rakyat yang telah diperolehi perlu beroperasi selewat-lewatnya 31 Mac 2025, atau sehingga kesemua kuota rebat SolaRIS habis diagihkan, yang mana terdahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, pembayaran rebat hanya akan dibuat selepas pemasangan serta pengoperasian sistem solar PV di bawah Program NEM Rakyat, atas nama pemegang bil dan akan didepositkan ke dalam akaun bank tempatan pengguna, tertakluk kepada terma dan syarat tuntutan.

Katanya, pemberian insentif itu akan dikendalikan oleh TNB dan perincian program berkenaan boleh didapati di laman sesawang TNB, SEDA Malaysia dan Suruhanjaya Tenaga.

Fadillah menambah, bagi memperluaskan penglibatan rakyat dalam penjanaan TBB, kerajaan juga bersetuju untuk meluluskan kuota tambahan sebanyak 100 megawatt (MW) di bawah Program NEM Rakyat.

Katanya, ia sekaligus menjadikan jumlah kuota yang diperuntukkan meningkat kepada 350MW. – REFLEKS!

Baca ini > Gading Kencana rancang bina ladang solar keempat di Kedah