Friday, May 17, 2024

Klip video TikTok wanita menari seksi taktik murahan, kotor nak jatuhkan MIC

TIDAK perlu melukut di tepi gantang hanya semata-mata mahu menjatuhkan parti politik lawan ataupun meraih sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang tarikhnya sedang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia untuk diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Baru-baru ini, tersebar satu klip video TikTok seorang wanita bersari, menari seksi mengikut rentak lagu Tamil.

Tidak cukup dengan paparan wanita menari seksi, di dalam klip video TikTok itu turut dipaparkan logo parti MIC di bahagian atas klip video berkenaan dan meminta orang ramai iaitu para pengundi, mengundi Barisan Nasional (BN).

Klip video TikTok yang dianggap tidak bermoral dan mengaibkan itu membuatkan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran tampil dengan kenyataan menafikan sekeras-kerasnya parti itu ada kaitan dengan satu klip video TikTok tersebut.

Sebagai sebuah parti politik yang lama wujud, sudah semestinya Presiden MIC menegaskan, wanita dalam video itu bukan ahli MIC dan jika itulah dikatakan kempen pilihan raya MIC, ia bukan satu langkah yang bijak bagi parti.

Sebaliknya, kata Tan Sri Vigneswaran, klip video TikTok itu suatu penghinaan kepada kecerdikan kita sekiranya ada dalam kalangan ahli parti yang berbuat demikian.

Dalam erti kata lain, istilah bahasa Inggeris, “it is an insult to our intelegence!” dan pelaku atau perakam video TikTok itu secara terang-terangan mahu mencemarkan nama parti MIC.

Kata Vigneswaran, beliau percaya pelaku video TikTok tersebut adalah musuh parti dan walaupun beliau enggan menamakan sesiapa secara membuta tuli namun kaedah menggunakan klip video itu untuk ditularkan adalah satu taktik murahan.

Ada benar kata-kata Tan Sri Vigneswaran kerana dunia sekarang, informasi di hujung jari dan tidak perlu menyerang parti lawan dengan pendekatan murahan seperti rakaman klip video dan superimpose imej logo parti.

Bangkitlah dan berkempenlah dengan cara berhemah, beradap dan bukan masih di tahap mentality kolot seperti zaman sebelum adanya IT, internet, media sosial termasuk TikTok.

Dalam klip berdurasi satu minit itu, wanita yang menggunakan nama “gayathrimoorthioficial2” di Tiktok berpakaian seksi dengan bahagian tengah dan belakang busana itu terdedah sambil menari seksi mengikut rentak lagu.

Pada bahagian atas klip itu, terpapar logo MIC dan logo BN bersebelahan tanda pangkah manakala tertera “Tetap BN’ pada dua logo kecil.

Vigneswaran berkata, mungkin bukan wanita itu yang meletakkan logo MIC dan BN pada video tersebut tetapi seteru politik lain yang menindihkan imej tersebut pada video itu memandangkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sudah hampir.

“MIC tidak akan menggunakan kempen publisiti murahan dan taktik kotor sebegitu,” katanya.

Katanya lagi, masa depan negara dan kesejahteraan rakyat menjadi taruhan pada PRU15 ini.

“Sehubngan itu, kami sedang berusaha keras mempertahankan komuniti India dan membantu mereka.

“Kami tidak terjebak dalam perkara mengarut seperti itu,” katanya. – REFLEKS