Friday, May 17, 2024

Manfaatkan tanah terbiar menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat Usahawan Tani (IPR-Intan)

IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kementerian yang mempunyai tanah terbiar tanpa sebarang perancangan, dimanfaatkan bagi menjayakan projek pertanian moden di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat Usahawan Tani (IPR-Intan).

Perdana Menteri berkata, beliau akan membangkitkan perkara itu pada pertemuan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang akan datang supaya tindakan segera dapat diambil.

“Saya harap dalam mesyuarat NACCOL akan datang, kita bangkitkan perkara ni supaya ada kertas Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pertanian (dan Keterjaminan Makanan) serta kementerian-kementerian lain yang patut menyediakan tanah.

“Saya sebut tadi tanah Jabatan Penjara, tanah Kementerian Dalam Negeri, tanah Kementerian Pendidikan, tanah Kementerian Kesihatan yang dipinjam untuk beberapa waktu,” katanya selepas melawat IPR-Intan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) Ulu Kinta di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Anwar berkata, projek pertanian dengan sokongan teknologi Internet Kebendaan (IoT) yang dibangunkan di atas tanah milik Kementerian Kesihatan di sini, adalah suatu langkah baik dalam usaha membasmi kemiskinan tegar yang belum pernah difikirkan sebelum ini.

Sementara itu, Rafizi berkata, kementerian berharap lebih banyak kementerian dan kerajaan negeri menyambut baik saranan bagi meminjamkan tanah masing-masing bagi mencipta peluang ekonomi khususnya di kawasan luar bandar.

Katanya, beliau menyasar IPR berjaya mencipta 20,000 peluang pekerjaan menerusi pertanian moden dengan pendapatan yang stabil menjelang akhir tahun 2025.

Kredit: Muhamad Lokman Khairi | Berita Harian