Friday, May 17, 2024

Maut selepas panas-panas, berendam dalam sungai

JADIKAN ini sebagai tauladan dan iktibar untuk kita semua. Memanglah ajal maut di tangan Tuhan dan kita reda apabila sudah tiba masanya dijemput Ilahi.

Peringatan untuk kita semua, bulan depan, Jun, diramalkan kita bakal dilanda cuaca panas kering El Nino.

Jadi, langkah awal dan berjaga-jaga yang perlu kita ambil demi keselamatan dan kesihatan sendiri termasuklah jangan berendam dalam sungai tatkala cuaca panas terik.

Suhu badan atau bahang dalam badan akan ‘berlawan’ andaikata kita, panas-panas, masuk ke dalam sungai dan berendam. Itu perbuatan yang merbahaya.

Apa yang terjadi ke atas seorang pekerja Sarawak Energy amat menyedihkan.

Dia meninggal dunia petang semalam selepas berendam dalam sungai dipercayai ketika tubuhnya masih dalam kepanasan.

Kejadian dikatakan berlaku sekitar pukul 3.15 petang ketika mangsa yang berusia 52 tahun bersama beberapa orang rakan, berendam dalam sungai di hutan Jalan Paradom/Tanjung Genting Bintangor usai bertugas menyelenggara pencawang elektrik di situ.

Menurut saksi, ketika kejadian cuaca panas terik dan mangsa masuk berendam di dalam sungai berhampiran pencawang elektrik berkenaan.

Apabila keluar dari sungai, mangsa mengadu seakan-akan mahu pitam dan terus pengsan.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 4.59 petang oleh paramedik dari Hospital Sibu dan mayatnya dihantar ke hospital tersebut untuk tindakan lanjut. – REFLEKS