Friday, May 17, 2024

Namibia tingkat amaran pemburuan haram selepas 28 badak sumbu dibunuh

WINDHOEK: Pihak berkuasa Namibia meningkatkan amaran anti-pemburuan haram hari ini selepas mendedahkan sebanyak 28 ekor badak sumbu dibunuh oleh pemburu haram sejak awal tahun, termasuk 19 ekor di rizab haiwan terbesar di negara itu.

Kementerian Alam Sekitar negara selatan Afrika itu berkata, ‘pertemuan peringkat tinggi segera’ bersama pegawai keselamatan sudah dipanggil untuk merancang langkah memerangi gelombang pemburuan haram ‘kejam’ itu.

Kementerian itu juga merayu bantuan orang ramai ‘dalam perjuangan yang sukar itu’ susulan kejadian yang meningkat di selatan Afrika.

Setakat ini, kementerian itu berkata, tiada tangkapan dilakukan.

Taman Etosha Namibia juga terjejas teruk akibat gelombang baru pembunuhan haiwan itu.

Kata kementerian itu, daripada 19 ekor badak sumbu yang disembelih di taman itu, 10 ditemui sewaktu kempen membuang tanduk badak sumbu bagi mengurangkan risiko mereka menjadi sasaran pemburuan haram.

Tanduk itu digunakan dalam perubatan tradisional di pasaran Asia selepas haiwan itu dibunuh.

“Ini adalah taman utama kami dan mempunyai usaha tinggi dalam pemuliharaan badak sumbu dan spesies bernilai tinggi lain, untuk menjadikannya tarikan utama pelancong,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa berkata, sebanyak 87 ekor badak sumbu dibunuh di seluruh Namibia pada 2022, meningkat daripada 45 ekor pada tahun sebelumnya.

Ketika ini, angka untuk 2023 masih belum didedahkan.

Di negara jirannya, Afrika Selatan, yang mempunyai populasi badak sumbu tertinggi, hampir 500 dibunuh oleh pemburu haram tahun lepas, meningkat 11 peratus daripada 2022.

Dianggarkan terdapat 23,300 ekor badak sumbu di Afrika pada akhir tahun 2022, dengan kira-kira 15,000 ekor di Afrika Selatan. – AFP

— BERITA HARIAN