Friday, May 17, 2024

PRN Pulau Pinang: Pemuda Pas dakwa ada pihak tertentu cuba bawa masuk ‘pengundi hantu’

PERMATANG PAUH – Pemuda Pas Pulau Pinang hari ini mendakwa ada pihak tertentu yang akan cuba membawa masuk ‘pengundi hantu’ bagi memanipulasi undi pada pilihan raya negeri (PRN), Sabtu ini.

Ketua Penerangannya, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Amar berkata, antara usaha yang dilakukan termasuk menyewa kad pengenalan pengundi di sesuatu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan bayaran tertentu.

Menurutnya, kad pengenalan itu akan digunakan oleh individu lain semasa hari mengundi sebelum dipulangkan kepada pemiliknya selepas selesai pilihan raya.

Beliau turut mendakwa, gerakan mengumpul kad pengenalan tersebut dilaksanakan ketika siri kempen rumah ke rumah.

“Modus operandinya adalah dengan mendapatkan dan mengumpulkan sebanyak mungkin kad pengenalan pengundi di sesuatu DUN, terutamanya anak muda dengan balasan berbentuk wang.

“Kemudian kad pengenalan tersebut akan digunakan oleh pengundi hantu untuk mengundi sesuatu parti tertentu dan kami percaya ini merupakan suatu skandal penipuan pilihan raya yang terdesak dengan kaedah menyewa kad pengenalan pengundi sebagai cubaan terakhir untuk memperoleh kemenangan secara kotor, tidak bersih dan tidak adil,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Pas Yusuf Ar-Rawa, di sini hari ini.

Selain itu, beliau turut mendakwa terdapat perancangan untuk membawa masuk kertas undi secara haram dengan kaedah menukar peti undi untuk memenangkan sesuatu parti tertentu.

Ketika ditanya sama ada sudah membuat laporan polis, Mohamad Ikhwan Afiq berkata pihaknya belum bercadang untuk membuat laporan polis berikutan belum mempunyai bukti kukuh berhubung kegiatan tersebut.

Sumber malaysiatribune.news