Friday, May 17, 2024

MOTAC batal lesen Emraz Travel mulai Isnin

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan lesen syarikat Emraz Travel & Tours Sdn Bhd berkuat kuasa Isnin ini.

MOTAC dalam satu kenyataan berkata, pembatalan lesen KPK/LN 8608 itu selaras dengan perenggan 8(1)(b) dan (d) Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].

“Syarikat didapati telah melanggar syarat lesen dan peruntukan Akta 482 serta menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara,” kata kenyataan itu hari ini.

Pada 8 Julai tahun lalu, media melaporkan lesen Syarikat Emraz Travel & Tours Sdn Bhd digantung selama enam bulan berkuat kuasa 10 Julai 2023 hingga 9 Januari 2024.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata, perkara itu diputuskan selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) di bawah subseksyen 8(1)(d) iaitu menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.

Pada 2 April tahun lalu, Lembaga Tabung Haji (TH) menggantung lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Emraz Travel & Tours sebagai langkah awal untuk melindungi kebajikan bakal jemaah haji susulan aduan awam berkenaan perkhidmatan umrah yang ditawarkan syarikat terbabit.

Bermula sekitar November tahun lalu, pihak polis menerima ratusan laporan berhubung dakwaan kes penipuan pakej umrah membabitkan syarikat itu.

Setakat ini, dua pengarah syarikat berkenaan yang juga sepasang suami isteri telah dihadapkan ke mahkamah berkaitan kes berkenaan. – REFLEKS!

Baca ini > MOTAC semak semula semua syarikat agensi pelancongan serta berbincang dengan Arab Saudi berkenaan kuota