Friday, May 17, 2024

Promosi RM1 baju Melayu satu penghinaan

BAGI keluarga yang tidak berkemampuan, harga sepasang baju Melayu RM1 pasti mengundang untuk mendapatkannya kerana Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi.

Mempromosikan harga sepasang baju Melayu seringgit oleh sebuah kedai menjual pakaian di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor pada Sabtu lepas seolah-olah memandang rendah kepada kalangan yang kurang berkemampuan.

Bermain dan memainkan emosi dan perasaan rakyat yang pasti teruja untuk menyerbu kedai pakaian berkenaan adalah satu tindakan yang jelek oleh pihak pengurusan kedai tersebut.

Kalau iya pun mahu menarik perhatian orang ramai, agak-agaklah apabila menawarkan harga promosi.

Apa yang terjadi pada Sabtu lepas, lebih 500 orang menyerbu kedai menjual pakaian itu harus dijadikan satu pengajaran.

Tanpa perlu menyebut nama kedai pakaian berkenaan, rasanya ramai yang tahu apakah nama kedai tersebut.

Strategi pemasaran boleh didatangkan dalam pelbagai kaedah atau pendekatan cuma janganlah sampai ke tahap keterlaluan apabila menawarkan harga yang amat rendah, serendah RM1.

Tentunya mereka yang menyerbu ke kedai menjual pakaian itu sudah terbayang-bayang untuk membeli beberapa pasang baju baharu untuk dipakai oleh anak-anak.

Yalah, sepasang baju Melayu berharga RM1, kalau ada 5 anak lelaki, baru keluar belanja RM5.

Nasib baiklah tidak ada yang mati terpijak atau tersepit apabila dirempuh ramai-ramai dalam masing-masing berpuasa!

Siku menyiku, tolak menolak, himpit menghimpit…semua itu tidak boleh nak dibayangkan berlaku ketika masing-masing cuba mendapatkan baju Melayu.

Untuk menjadi 100 pelanggan pertama sudah tentu ada yang bersilat untuk meletakkan diri sebagai 100 pelanggan pertama.

Pihak penguruan kedai menjual pakaian ini juga seolah-olah mengambil kesempatan atas keadaan ekonomi yang tidak berapa cantik!

Dalam keadaan harga barang naik, harga sotong bersize besar, sekilo cecah RM34, nak beli baju Raya, ada yang menawarkan harga rendah lagi murah, siapa yang nak lepaskan peluang.

Bukan sahaja tarikan untuk rakyat tempatan atau masyarakat setempat, warga asing juga berpusu-pusu untuk membeli baju baru semurah seringgit!

Pada masa akan datang, kalau ada lagi mana-mana kedai menjual pakaian menawarkan harga terlalu rendah sehingga ke tahap tak munasabah, rakyat beramai-ramai diharap jangan serbu kedai berkenaan.

Boikot aje! Biar tak  ada pelanggan. Bijaklah dalam membuat strategi pemasaran. Bukan dengan cara bodoh tak boleh diajar, cerdik tak boleh ditumpang! – REFLEKS