Friday, May 17, 2024

Serangan monyet cetus kes pertama virus B pada manusia di Hong Kong

HONG KONG: Seorang lelaki berusia 37 tahun berada dalam keadaan kritikal selepas diserang monyet di taman rekreasi dan disahkan positif virus B, menjadikannya orang pertama di bandar itu dijangkiti jangkitan maut itu.

Berikutan itu, pihak berkuasa Hong Kong sedang menyiasat kes itu dan memberi amaran kepada orang ramai supaya mengelak daripada menyentuh atau memberi makan monyet liar.

Menurut Pusat Perlindungan Kesihatan, sesiapa yang cedera akibat serangan monyet harus mendapatkan rawatan perubatan segera.

“Lelaki itu dimasukkan ke hospital kerana demam dan keadaannya yang semakin teruk pada 21 Mac lalu.

“Ahli keluarga menyatakan mangsa cedera semasa lawatan pada akhir Februari ke Taman Desa Kam Shan, destinasi mendaki yang terkenal dengan kumpulan monyet liarnya,” menurut laporan itu.

Kecederaan akibat gigitan atau cakaran monyet sebelum ini pernah dilaporkan menyebabkan mangsa di Amerika Syarikat (AS), Kanada, Jepun dan China jatuh sakit.

Ini adalah kes pertama di Hong Kong bagi serangan virus B yang jarang berlaku dan boleh menyebabkan kerosakan otak atau kematian jika tidak dirawat dengan segera, menurut jurucakap jabatan kesihatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, penularan patogen dari manusia ke manusia, yang juga dikenali sebagai virus herpes simiae, jarang berlaku.

“Virus B secara semula jadi dibawa dalam air liur, air kencing dan najis kera iaitu sejenis monyet liar yang biasa ditemui di Hong Kong.

“Orang yang dijangkiti pada mulanya mungkin mengalami simptom seperti selesema dan kemudian berkembang menjadi jangkitan sistem saraf pusat,” katanya.

–Berita Harian