Friday, May 17, 2024

Zambry minta Universiti Malaya siasat, sedia laporan segera jemputan penceramah warga asing didakwa pro-Israel

SEBARANG program dan aktiviti dijadual dihadiri seorang penceramah warga asing yang mengeluarkan kenyataan dilihat mencetuskan kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular dalam media sosial diarahkan dibatalkan segera.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan pihaknya mengambil maklum dan memandang serius isu yang berlaku berhubung tindakan penceramah warga asing tersebut.

Pada masa sama, beliau turut meminta Universiti Malaya (UM) yang didakwa menjemput penceramah itu supaya melakukan siasatan dan memberi laporan butiran lanjut dalam kadar segera.

Zambry berkata, setiap keputusan agensi dan institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu mengambil kira sensitiviti dan selari dengan polisi serta pendirian kerajaan.

“Suka untuk saya ingatkan kepada setiap agensi dan institusi di bawah KPT agar peka, berhati-hati dan membuat semakan latar belakang dengan teliti sebelum menjemput mana-mana individu atau pihak ke majlis dan program yang dianjurkan.

“Walaupun institusi pengajian tinggi (IPT) diberi autonomi untuk memutuskan program-program intelektual tetapi itu bukan bermakna institusi bebas secara mutlak sehingga tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat dan majoriti rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, UM menerima kecaman kerana didakwa menjemput seorang ahli akademik Amerika Syarikat yang didakwa pro-zionis dan menuduh ahli politik Malaysia menyokong perjuangan Palestin sebagai menyebarkan kebencian terhadap Yahudi untuk memberi ceramah di universiti tersebut.

Tindakan ahli akademik merupakan Profesor Politik dan Hal Ehwal Global di Universiti Portland, Amerika Syarikat itu membuat kenyataan menerusi akaun X berhubung perkara tersebut turut mendapat kecaman netizen. – REFLEKS!

Baca ini > Malaysia minat hantar pelajar dalami bidang kejuruteraan di Iraq