Friday, May 17, 2024

Aksi Pelancong ‘Berprojek’ Di Pantai Pattaya Cetus Kemarahan Warga Thailand

Bangkok: Video pelancong melakukan hubungan seks di pantai Pattaya yang tular, mencetuskan kemarahan di Thailand.

The Straits Times melaporkan klip video pendek sepasang pelancong itu ‘beraksi’ secara terbuka di pantai berkenaan jelas tindak disenangi kerana ia disifatkan sebagai melampaui batasan.

Bandar pelancongan itu mempunyai reputasi tidak baik dianugerahkan oleh sebuah akhbar United Kingdom pada 2017 sebagai ‘daerah lampu merah terbesar di dunia’ yang terkenal dengan pelacuran.

Klip video tersebar pelancong yang melakukan hubungan seks pada waktu malam di pantai di pinggir bandar di pantai timur Thailand itu sekali lagi menarik perhatian kepada imej Pattaya sebagai ‘bandar dosa’.

Laman berita Pattaya Mail berkata, video itu mula muncul di saluran Rusia di Telegram pada 6 Februari dan kemudian menjadi tular apabila ia disiarkan di Facebook (FB) oleh pengguna Denis Krungtep pada 8 Februari dengan kapsyen: “Adakah ini normal di Pattaya?”

Ia menimbulkan komen seperti: “Oh Tuhanku, mengapa mereka tidak pergi ke hotel dengan pelakuan seperti itu? Orang jenis apakah ini?”

Ramai yang menegaskan bahawa dua orang dalam video itu nampaknya bukan warga Thailand, terdapat juga gesaan supaya pasangan itu ditangkap.

Pattaya Mail berkata, video itu dirakam di sepanjang pantai Jomtien yang “mesra keluarga”, antara Soi 6 dan Soi 7, berhampiran kompleks sukan air Pattaya. Pantai ini menarik sejumlah besar pelancong Rusia dan dari negara-negara Scandinavia.

Ini bukanlah kejadian pertama seumpama itu yang mencetuskan kemarahan rakyat Thai berhubung kelakuan tidak wajar di sepanjang pantai Pattaya yang indah.

Pada Januari 2020, warga Rusia Roman Grigorenko, 26, dan Daria Vinogradova, 19, didenda 5,000 baht (kira-kira RM663) dan terpaksa meminta maaf secara terbuka selepas mereka dilihat dalam video melakukan hubungan seks di pantai Pattaya.

Dengan kecantikan pantai, hotel yang banyak dan kehidupan malam yang meriah, Pattaya ialah hab pelancongan menguntungkan dan nadi industri seks besar-besaran Thailand.

AFP melaporkan terdapat kira-kira 140,000 wanita yang beroperasi sebagai pekerja seks di seluruh Thailand. Puluhan ribu dipercayai bekerja di Pattaya sahaja, kata agensi itu.

Pegawai Thai cuba untuk memperbaharui imej bandar itu selama bertahun-tahun, tetapi walaupun usaha sudah dilakukan junta di bawah bekas perdana menteri Prayut Chan-o Cha, namun ia tidak membuahkan hasil.

Kredit: Agensi | Harian Metro