Friday, May 17, 2024

Arif Aiman cipta hatrik dipilih MVP di Anugerah Bolasepak Kebangsaan

REPUTASI penyerang muda sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Mohd Hanapi ternyata sukar digugat apabila mencipta hatrik gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bolasepak  Kebangsaan 2023 (ABK23), malam ini.

Bintang muda berusia 21 tahun itu mempertahankan gelaran itu buat kali ketiga berturut-turut selepas menampilkan prestasi cemerlang sepanjang musim bersama JDT.

Lebih manis, pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu turut menyapu bersih empat lagi gelaran iaitu Penyerang Terbaik, Pemain Muda Terbaik dan anugerah Gol Terbaik yang dicipta pada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia menentang Perak FC.

Beliau turut berkongsi kemenangan Anugerah Kasut Emas – Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super bersama penyerang Selangor, Mohd Faisal Abdul Halim dengan keseluruhan 12 jaringan sepanjang musim.

Sementara itu, seperti yang dijangka juara 10 kali berturut-turut Liga Super, JDT memenangi anugerah Pasukan Terbaik selain pemainnya turut menggondol tiga lagi anugerah malam ini.

Antara anugerah lain yang diraih pemain Harimau Selatan itu adalah Ahmad Syihan Hazmi merangkul anugerah Penjaga Gol Terbaik manakala Muhammad Afiq Fazail menyambar gelaran Pemain Tengah Terbaik selain Bergson Da Silva memenangi anugerah Pemain Import Terbaik.

Terengganu FC berjaya memenangi anugerah Fair Play sementara pemain tengahnya Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili menjadi Pemain Terbaik selain pertahanannya Muhammad Azam Azmi Murad meraih anugerah Pertahanan Terbaik.

Bagi anugerah Jurulatih Terbaik telah menjadi milik bekas jurulatih Selangor FC Tan Cheng Hoe selain penyerangnya Ayron Del Valle memegang gelaran Penjaring Terbaik Liga Super.

Selain itu, penyerang Kedah Darul Aman FC Ebenezer Kofi Assifuah-Inkoom meraih gelaran Penjaring Terbanyak Piala MFL dengan meledak keseluruhan 16 jaringan pada musim lepas. – REFLEKS!

Baca ini > Arif Aiman tandatangani kontrak jangka masa panjang bersama JDT